Penolong pegawai tadbir bantu siasatan salah guna kuasa

Gambar hiasan
A
A

GEORGETOWN - Seorang penolong pegawai tadbir sebuah universiti awam di Pulau Pinang direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa melibatkan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan yang dianggarkan bernilai RM140,000.

Perintah tahanan reman yang bermula hari ini sehingga 27 Januari itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muna Maria Azmi selepas Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Darshini mengemukakan permohonan.

Suspek wanita yang berumur 42 tahun itu ditahan pada kira-kira 12 tengah hari semalam di Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir untuk memberi keterangan.

Suspek yang akan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 itu tiba di Mahkamah Majistret hari ini diiringi pihak SPRM dan dia diwakili peguam S Amaresh. - Bernama