Pendakwaan mohon mahkamah jatuhkan hukuman berat ke atas Najib

Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. -Foto Bernama
Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman berat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan kerana beliau memegang jawatan tinggi serta mempunyai pengaruh yang besar ketika melakukan jenayah itu.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram berkata, kes yang dikaitkan dengan skandal 1MDB itu turut mencemarkan imej negara dengan kleptokrasi dan rakyat Malaysia tidak sepatutnya berdepan dengan isu tersebut.

“Tidak ada Perdana Menteri atau Menteri Kewangan yang pernah didapati bersalah atas sesuatu kesalahan jenayah. Ini yang pertama," katanya ketika membalas hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang meminta hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya.

Sithambaram berkata, pendakwaan memohon mahkamah mengenakakn denda sebanyak RM210 juta bagi kesalahan menyalahgunakan kedudukan iaitu lima kali ganda nilai suapan dalam jenayah itu serta hukuman penjara mandatori.

Bagi CBT, pendakwaan memohon hukuman penjara antara dua tahun hingga 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pendakwaan memohon hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda RM210 juta, yang merupakan lima kali ganda nilai terbabit dalam jenayah itu, kata Sithambaram.

Najib didapati bersalah atas ketujuh-tujuh pertuduhan yang membabitkan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Sithambaram berhujah bahawa Najib tahu mengenai RM42 juta yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadinya namun tidak bertindak memulangkan wang itu.

Artikel Berkaitan:

“Alasan yang diberikan ialah siasatan sedang dijalankan, bagaimanapun selepas Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) membersihkan beliau daripada sebarang salah laku, masih tidak ada tindakan diambil untuk memulangkan wang tersebut.

“Adalah jelas tertuduh enggan memulangkan wang itu dan hukuman yang dijatuhkan mestilah berat kerana Najib memegang jawatan yang tinggi dan berpengaruh," katanya sambil menambah bahawa kesalahan rasuah semakin berleluasa di negara ini dan tidak boleh dibiarkan.

Sithambaram berkata, Najib mempunyai kewajipan fidusiari dan moral kepada Malaysia serta rakyatnya namun sabitan mahkamah menunjukkan bahawa beliau gagal melaksanakan kewajipan itu.

“Hukuman mahkamah perlu menjadi duluan kepada semua yang memegang jawatan tinggi di negara ini. Ini adalah satu peringatan bahawa tidak ada sesiapa pun yang terkecuali daripada tindakan undang-undang,” katanya.

“Ini semua adalah keputusan yang dibuat oleh para hakim, bukan kata-kata saya. Ini merupakan pandangan mahkamah terhadap individu berjawatan tinggi dan penting yang melakukan perbuatan rasuah," katanya.

Sithambaram kemudian menyentuh pertuduhan pengubahan wang haram dan berkata senario terburuk dalam kes itu telah berjaya dibuktikan.

"Peranan tertuduh dalam SRC International sebelum ia menjadi sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) lagi, kedudukan yang dipegang beliau untuk memberi arahan, berada dalam Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan bagi membolehkan SRC mendapatkan pinjaman, pengeluaran pinjaman, pengeluaran RM42 juta ke akaun beliau bagi kesalahan CBT dan penggunaan kewangan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA)," katanya.

Beliau juga berkata, jika jenayah itu tidak didedahkan oleh media, ia mungkin tidak dapat dikesan.

"Terdapat percubaan untuk menafikan tandatangan dalam dokumen penting pendakwaan sebelum berpatah balik...ini menjadikan keadaan dalam kes ini lebih teruk," katanya.

Sithambaram berkata, kes itu adalah 'yang pertama seumpamanya,' oleh itu ia 'adalah tersendiri'.

"Oleh itu, kami memohon satu hukuman yang adil dan sewajarnya dijatuhkan, yang bersifat pencegahan untuk memberi pengajaran bukan hanya kepada ahli politik malah kepada semua penjawat awam," katanya. - Bernama