Penyokong UMNO perlu berdoa Najib diberi kekuatan: Zahida

A
A
A

SHAH ALAM - Penyokong-penyokong UMNO perlu bertenang dan berdoa agar Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan kekuatan untuk melawan segala kezaliman pertuduhan politik terhadap dirinya.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, proses keadilan masih lagi berjalan kerana terdapat Mahkamah Rayuan dengan panel tiga hakim dan Mahkamah Persekutuan dengan lima hingga tujuh hakim yang sudah pasti akan buat keputusan lebih adil berlandaskan undang-undang.

"Kita tidak seharusnya menghukum beliau selagi belum selesai diadili di dua lagi mahkamah.

"Kepada para penyokong diminta bertenang dan berdoa agar Najib terus diberi kekuatan bagi melawan segala kezaliman pertuduhan politik terhadap dirinya," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, amat mengecewakan apabila keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berpihak kepada bekas Perdana Menteri itu.

"Keputusan ini amat menyedihkan bagi kami malah ramai para penyokong dan orang-orang UMNO turut kecewa dengan keputusan hakim hari ini tetapi itulah keputusan mahkamah yang patut kita hormati.

"Seperti apa yang sering disebut oleh 'BossKu' bahawa beliau mahu membersihkan namanya dan dengan tegas tidak mahu kesnya digugurkan seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan PH pada kes skandal terowong bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika mereka berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan: