Najib dihukum penjara 72 tahun, denda RM210 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum penjara 72 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah tujuh pertuduhan salah guna, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas selesai membaca penghakimannya bagi kesemua pertuduhan itu selama dua jam.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta manakala bagi tiga pertuduhan pecah amanah Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan itu.

Manakala bagi tiga lagi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, Najib turut dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Kesemua penjara itu adalah selama 72 tahun namun mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan secara serentak iaitu Najib hanya dipenjara selama 12 tahun.

Mahkamah membenarkan Najib menangguhkan kesemua hukuman sementara menunggu rayuan pihaknya di Mahkamah Rayuan dengan syarat tambahan beliau perlu membayar jaminan tambahan sebanyak RM1juta.

Bagaimanapun sekiranya Najib gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Najib diarah lapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan iaitu pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan dan mahkamah membenarkan bayaran bil RM 1 juta itu dibayar esok.

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, pasukan pembelaan Najib gagal mengetengahkan mengenai imbangan kebarangkalian untuk menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

"Dalam keterangan di mahkamah mengesahkan terdapat penglibatan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, termasuk turut memberikan arahan mengenai akaun bank Najib kepada bekas Pengurus Perhubungan Ambank Joanna Yu,"katanya.

Menyentuh mengenai isu tandatangan palsu pada dokumen yang dibangkitkan sepanjang perbicaraan itu, mahkamah turut mendapati, pihak pembelaan juga tidak mengemukakan saksi pakar untuk mengesahkan kesahihan tandatangan Najib pada dokumen yang didakwa palsu.

ARTIKLE BERKAITAN: Peguam Najib mohon kemuka rayuan ringan hukuman Isnin ini

Najib bersalah atas tujuh pertuduhan

UMNO akur keputusan mahkamah, kata Zahid

Terdahulu peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuka tirai dengan rayuan mitigasi dengan membacakan biodata Najib termasuk memaklumkan Najib pernah melakar sejarah dengan menjadi Menteri Besar termuda di negeri itu.

“Najib bukan sahaja mempunyai kriteria sebagai seorang pemimpin yang berkaliber termasuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa ketika siasatan kes dibuat terhadap beliau.

"Selain itu tiada laporan anak guam saya mengganggu mana-mana saksi,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V.Sithambaram yang mewakili pendakwaan berkata, kes ini telah menyebabkan negara ini terpalit dengan isu kleptokrasi.

“Menjadi pemimpin tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan sebarang kesalahan,” katanya.

Selain itu pihak pendakwaan juga turut menjadikan kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr.Mohamad Khir Toyo sebagai rujukan yang terlibat dalam rasuah yang dikenakan hukuman penjara kerana menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam pada tahun 2007.

Pada 11 November tahun lalu, Mohd. Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap semua pertuduhan yang didakwa ke atasnya.