Kedah yakin SPAJ mampu atasi isu air 2050

Azman (dua dari kiri) meninjau projek pembinaan fasa satu SPAJ di Kampung Tala, Sik hari ini.
Azman (dua dari kiri) meninjau projek pembinaan fasa satu SPAJ di Kampung Tala, Sik hari ini.
A
A
A

SIK- Kerajaan Kedah yakin pembinaan Skim Pemindahan Air Jeniang (SPAJ) membabitkan kos keseluruhan RM960 juta mampu mengatasi masalah kekurangan air di negeri ini menjelang 2050.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Azman Nasrudin berkata, menerusi kajian yang dibuat, Kedah yang merupakan negeri Jelapang Padi akan mengalami kekurangan air pada 2050 di mana bekalan air adalah sangat penting untuk sektor pertanian khususnya tanaman padi.

Menurutnya, pembinaan SPAJ akan melengkapkan sistem infrastruktur sumber air bagi menyalurkan lebihan air Sungai Muda dan Empangan Beris untuk kegunaan pertanian sekali gus mengelakkan kerugian sumber air.

"Projek ini mampu mengelakkan kerugian air yang mengalir terus ke laut tanpa kita pindahkan ke satu empangan baharu bagi tujuan pertanian dan kegunaan domestik," katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek SPAJ Kampung Tala, di sini hari ini.

Menurutnya, projek membabitkan keluasan lebih 1,500 hektar itu merangkumi tiga buah daerah iaitu Mukim Jeneri di Daerah Sik, Mukim Ayer Puteh, Padang Pusing, Guar Kepayang di Daerah Pendang dan Mukim Gurun di Daerah Kuala Muda.

"Seluas 39,000 hektar penanaman padi akan mendapat faedah tanaman dua kali setahun membabitkan 18,000 petani khususnya di kawasan selatan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang bakal menerima manfaat," katanya.

Menurutnya, pembinaan fasa satu menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) membabitkan komponen ampang jajar dan muka sauk bernilai RM100 juta kini siap 66 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Ogos 2021.

"Fasa dua pembinaan menerusi RMK12 pula membabitkan RM368 juta merangkumi pengambilan tanah bagi projek fasa kedua.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya fasa kedua melibatkan pembinaan terusan pemindah, Empangan Naok dan terusan penghantar yang akan dilaksanakan menerusi RMK13 bernilai RM492 juta.

"Keseluruhan pembinaan struktur pengairan dan empangan ini juga berpotensi mengurangkan risiko banjir di kawasan hilir Sungai Muda, membekalkan air konsisten daripada tempoh 24 jam kepada 10 jam bagi penanaman padi dan membekalkan air tambahan kepada Kedah.

"Ia dijangka mampu disiapkan dalam tempoh 10 tahun sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu dan aktiviti hiliran lain," katanya.