X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang kawal Covid-19 dengan baik: Wan Rosdy

Gimik pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy.
A
A

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan penghargaan di atas usaha dan komitmen Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dalam mengekang penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) sehingga dapat dikawal seperti hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mampu menangani Covid-19 dengan baik meskipun Pahang terletak bersebelahan negeri-negeri berisiko seperti Selangor, Johor, Perak dan lain-lain yang mempunyai statistik kes tinggi.

Beliau berkata, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi berkaitan dalam mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 di negeri itu.

"Meskipun Pahang bersempadan dengan beberapa negeri dan ada antaranya mencatatkan jumlah kes yang tinggi namun ia berjaya dikawal dengan kecekapan pihak terlibat.

"Kita menduduki tempat keenam berbanding negeri lain. Pahang bersempadan dengan Selangor, Johor, Perak, kalau kita tidak kawal, tidak urus dengan baik saya percaya negeri ini akan berada di tempat ke dua atau ketiga teratas," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan tahniah khusus kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang secara proaktif membendung penularan wabak itu di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur gemilang 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Pada majlis itu, beliau bersama kakitangan awam dan swasta yang hadir turut berkesempatan mendengar amanat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di TV1.

Segmen khas Wira Negara turut ditonjolkan dengan membariskan barisan hadapan negara seperti Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan tidak terkecuali kontraktor pembersihan Alam Flora dan Pos Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!