Suami isteri antara lima anggota sindiket dadah ditahan

Hasanuddin (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas daripada lima suspek dalam dua serbuan di Pasir Mas semalam.- Foto Sinar Harian
Hasanuddin (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas daripada lima suspek dalam dua serbuan di Pasir Mas semalam.- Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Lima termasuk pasangan suami isteri dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan bersama pil kuda bernilai RM180,000 di tepi jalan berhampiran Hospital Lati, Pasir Mas semalam.

Mereka yang berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan antara jam 5 petang sehingga 6.30 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, intipan yang dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan telah menahan tiga daripada mereka pada serbuan pertama.

“Seorang suspek lelaki berusia 25 tahun berada di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan sebelum sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki sepasang suami isteri berusia 26 tahun menghampirinya.

“Polis bertindak menangkap mereka selepas berlaku pergelutan dan pemeriksaan menjumpai bungkusan mengandungi 12,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM120,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan pertama itu, polis melakukan serbuan kedua di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Dangar, Pasir Mas dan menahan dua lagi suspek lelaki dan wanita dalam sebuah kereta jenis Perodua MyVi.

“Wanita berkenaan meletakkan kereta di tepi kedai dan membawa satu bungkusan plastik sebelum memasukkannya ke dalam sebuah raga motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang diparkir di kawasan sama.

“Lelaki berusia 33 tahun dan wanita berusia 30 tahun tersebut ditangkap selepas berlaku pergelutan serta pemeriksaan lanjut dalam bungkusan plastik itu didapati mengandungi 6,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM60,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hasanuddin berkata, kumpulan ini dipercayai bertindak sebagai pengedar kecil-kecilan dan tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai rangkaian sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak beberapa bulan lalu.

Sebuah Mitsubishi ASX antara barangan yang disita polis dalam dua serbuan di Pasir Mas semalam. - Foto Sinar Harian
Sebuah Mitsubishi ASX antara barangan yang disita polis dalam dua serbuan di Pasir Mas semalam. - Foto Sinar Harian

“Dadah-dadah dipercayai diedarkan di pasaran sekitar Pasir Mas dan semakan mendapati tiga mereka mempunyai rekod lampau serta positif dadah jenis metamphetamine.

“Polis juga menyita harta iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan Mitsubishi ASX, motosikal jenis Honda EX-5, seutas rantai emas dan gelang tangan emas yang keseluruhannya bernilai RM37,000.

“Mereka ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga Ahad. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah beliau, gejala pengedaran dadah di negeri ini masih berlaku walaupun penguatkuasaan demi penguatkuasaan dilakukan oleh pihak polis.

“Saya ingin ingatkan kepada mereka yang masih berani melakukan kegiatan ini bahawa tindakan yang amat tegas akan dikenakan oleh pihak berkuasa. Berani buat, berani tanggung,” katanya.