PDRM tegas pantau integriti anggota

Wacana ke-88 bertajuk ‘Integriti Penjawat Awam Belum Mantap?’ sedang berlangsung di Dewan Karangkraf, di sini, petang ini. - Foto Sinar Harian
Wacana ke-88 bertajuk ‘Integriti Penjawat Awam Belum Mantap?’ sedang berlangsung di Dewan Karangkraf, di sini, petang ini. - Foto Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dan tidak bertolak ansur terhadap anggotanya yang melanggar integriti ketika bertugas.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Zamri Yahya berkata, setiap tahun PDRM mengambil tindakan terhadap hampir 2,000 anggotanya termasuk menamatkan perkhidmatan mereka.

Menurutnya, PDRM sentiasa memantau anggotanya bagi menyahut aspirasi kerajaan yang mahu menegakkan pentadbiran yang baik.

“Kebanyakan kes melibatkan isu integriti, kita akan siasat terlebih dahulu. Malah, saban hari kita tekankan pegawai atasan untuk memeriksa anggota supaya mereka berkhidmat penuh kejujuran dan berdisiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana ke-88 bertajuk ‘Integriti Penjawat Awam Belum Mantap?’ di Dewan Karangkraf, di sini, petang ini.

Tambah beliau, PDRM mempunyai beberapa pendekatan menangani masalah disiplin yang berbentuk pencegahan termasuk melalui cara terbuka atau tertutup.

“Semua sistem sudah ada, cuma kita perlu pastikan ia dipatuhi. Kita buat segalanya secara menyeluruh,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: