Polis jalankan 1,776 pemeriksaan terhadap individu kuarantin

Ismail Sabri -Foto Bernama
Ismail Sabri -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,776 pemeriksaan dilakukan terhadap individu yang menjalankan kuarantin wajib di kediaman masing-masing semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam seramai 1,631 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di sembilan stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

"Mereka (1,631 individu) telah pulang dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

"Semalam (27 Julai), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 1,776 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, PDRM dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 32 tapak binaan di seluruh negara semalam dan mendapati 30 daripadanya patuh pada SOP yang ditetapkan manakala selebihnya diberi nasihat kerana tidak mematuhi SOP.

"Dari 20 April sehingga semalam, jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP adalah 3,479 tapak binaan manakala 568 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran. Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan seorang warga asing atas kesalahan imigresen dan membuat 74 sekatan jalan raya di seluruh negara serta memeriksa 37,281 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, PDRM menahan 210 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dan daripada jumlah itu 10 individu direman manakala seorang lagi dijamin dan 199 individu dikenakan kompaun.

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 66,463 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya. - Bernama