Sumbang lelongan lukisan lebih AS$1 juta kepada hospital Palestin

Gambar fail menunjukkan tiga lukisan minyak berjudul Mediterranean Sea View 2017 yang dihasilkan Banksy. - Foto Getty Images
Gambar fail menunjukkan tiga lukisan minyak berjudul Mediterranean Sea View 2017 yang dihasilkan Banksy. - Foto Getty Images
A
A
A

RAMALLAH - Artis jalanan, Banksy akan menyumbangkan hasil daripada lelongan sebuah hasil karyanya yang bernilai lebih AS$1 juta (RM4.25 juta) kepada sebuah hospital Palestin, kata salah seorang rakan usaha samanya kepada AFP pada Isnin lalu.

Lukisan yang berjudul Mediterranean Sea View 2017 dilelong pada Selasa ini di firma Sotheby's, London, kata Wissam Salsaa.

Salsaa merupakan pengarah Hotel Walled Off yang kewujudannya dibantu oleh Bansky pada tahun 2017.

Hotel itu terletak di wilayah diduduki Israel di Tebing Barat, Bethlehem.

Hasil kerja seninya itu mengandungi tiga lukisan minyak yang menggambarkan pemandangan dan pinggir laut bersama jaket keselamatan berwarna oren serta boya.

Maksud lukisan itu ialah tentang kehidupan yang hilang di laut semasa krisis migran pada tahun 2010-an, menurut keterangan daripada laman firma Sotheby's.

Hasil kerja seni itu yang pernah digantung di ruang masuk hotel tersebut bernilai AS$1.5 juta (RM6.37 juta), kata Salsaa. - AFP

Artikel Berkaitan: