X

Kindly register in order to view this article
!

SPR gagal larang Sivarraajh bertanding, mengundi

Datuk C Sivarraajh (tengah). Foto fail: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk C Sivarraajh berjaya dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang beliau bertanding atau mengundi dalam pilihan raya selama lima tahun.

Datuk Seri Kamaludin Md Said yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan kehakiman Sivarraajh yang memohon satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan SPR.

"Kami sebulat suara memutuskan bahawa terdapat merit dalam rayuan ini," kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Nor Bee Ariffin dan S Nantha Balan.

Mahkamah membenarkan rayuan Sivarraajh dan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman beliau.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Sivarraajh memaklumkan wartawan bahawa susulan keputusan mahkamah itu, anak guamnya kini bebas mengundi dan bertanding dalam pilihan raya.

Sivarraajh, yang merupakan Naib Presiden MIC memfailkan semakan kehakiman pada 31 Disember 2018 bagi memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan SPR yang dimaklumkan kepadanya melalui surat bertarikh 28 Disember 2018 yang tidak membenarkan beliau bertanding atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun mulai 13 Disember 2018.

Beliau telah menamakan SPR sebagai satu-satunya responden dalam semakan kehakiman itu.

Susulan keputusan SPR itu, Sivarraajh tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 26 Januari tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya pada November 2018 telah membatalkan kemenangan Sivarraajh di kawasan parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 selepas memutuskan bahawa terdapat pembelian undi sepanjang tempoh berkempen.

Pada 7 Januari 2019, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Sivarraajh untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPR.

Pada 10 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman Sivarraajh selepas memutuskan bahawa keputusan SPR melalui suratnya adalah mengikut lunas undang-undang dan mendapati tiada sebarang perkara yang tidak sah atau tidak wajar berhubung keputusan itu.

Sivarraajh, yang turut diwakili L S Leonard dan Wong Ming Yen memberitahu media bahawa keadilan sudah ditegakkan dan beliau amat berterima kasih kepada peguamnya yang telah bekerja keras.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili SPR berkata, beliau akan mendapatkan arahan daripada Peguam Negara sama ada mahu membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!