Kenyataan Nur Jazlan seperti orang kecewa, kata Mazlan

Hasni (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringat Negeri Johor 2020 di Kota Iskandar, hari ini.
Hasni (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringat Negeri Johor 2020 di Kota Iskandar, hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dakwaan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini rapuh meskipun bersama dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) disangkal sama sekali.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan ia kenyataan lahir daripada pemimpin yang kecewa.

"Datuk Nur Jazlan adalah orang kecewa. Orang kecewa dan orang yang kalah memang macam itulah, bukan sedikit kalah (dalam Pilihan Raya Umum ke-14) tetapi beribu-ribu (majoriti undi).

"Biasanya kita tengok yang bising, melalak dan keluar kenyataan seperti ini adalah Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kalah, mereka yang menang mana ada bising-bising," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringat Negeri Johor 2020 di ruang legar Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang turut dihadiri Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail.

ARTIKEL BERKAITAN: Nur Jazlan akui hubungan UMNO, Bersatu tidak kukuh

Pada 25 Julai lalu, Nur Jazlan berkata, Johor adalah satu daripada negeri-negeri yang menjadi bukti ketegangan hubungan politik antara kedua-dua parti berkenaan.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pulai itu, formula pengagihan kerusi yang dipersetujui di peringkat atasan PN tidak sesuai dilaksanakan di Johor kerana di negeri itu tiada pengundi bagi kaum tertentu mendominasi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Nur Jazlan bimbang kedudukan kerusi dalam PRU15 akan menggugat peluang beliau untuk bertanding semula.

Menurutnya, apa yang dikatakan bekas timbalan menteri itu lebih kepada kenyataan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti.

Kerjasama antara Bersatu, UMNO dan Pas di negeri ini katanya, akan diteruskan dan sepatutnya Nur Jazlan mengukuhkan hubungan, bukan mengeruhkan keadaan dengan kenyataan tidak berasas atau berbentuk provokasi.