Norlela tiada dalam senarai pesakit IJN

Norlela memegang tabung derma beserta surat hospital yang kononnya menyatakan beliau perlu menjalani rawatan bagi menukar bateri jantung.
Norlela memegang tabung derma beserta surat hospital yang kononnya menyatakan beliau perlu menjalani rawatan bagi menukar bateri jantung.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Nama Norlela Abd Rahman berusia 57 tahun yang mendakwa perlu menjalani pembedahan bagi menukar bateri jantung pada 20 September depan tiada dalam senarai pesakit di Institut Jantung Negara (IJN).

IJN menerusi kenyataannya berkata, tiada maklumat mengenai Norlela dikesan setelah diperiksa berdasarkan nombor kad pengenalan tertera pada surat yang digunakan untuk memohon sumbangan orang ramai.

"Kita mendapati tiada butiran pesakit sebagaimana didakwa perlu datang ke IJN untuk menjalani pembedahan pada 20 September depan.

"Berdasarkan surat yang dibawa bersama ketika memohon sumbangan orang ramai itu juga tiada dinyatakan bahawa individu terbabit perlu ke IJN untuk menjalani rawatan.

"Sebaliknya tulisan yang tertera pada surat yang dibawa itu menyatakan individu terbabit hanya perlu memeriksa fungsi jantung terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh ketika dihubungi menyatakan tiada memegang rekod individu terbabit.
Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh ketika dihubungi menyatakan tiada memegang rekod individu terbabit.

Sementara itu, bahagian kemasukan pesakit Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak juga mendapati tiada kemasukan pesakit itu di hospital berkenaan.

Jurucakap bahagian itu berkata, tiada rekod nama Norlela Abd Rahman serta nombor kad pengenalan individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Pihak hospital juga tidak menyimpan sebarang maklumat pesakit berdasarkan nombor kad pengenalan ini.

"Ia bermaksud individu terbabit tidak pernah datang mendapatkan rawatan di hospital ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan berita tular di media sosial seorang wanita bersama tabung derma merayu sumbangan bagi mengumpul dana sebanyak RM7,000 untuk menampung kos pembedahan menukar bateri jantungnya.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian menjejaki kembali wanita terbabit menerusi nombor telefon yang digunakan tidak berhasil.