Aliran trafik dijangka melonjak lebih 50 peratus

Syarikat pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (Lebuhraya KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) menjangkakan lonjakan trafik daripada purata trafik harian sekitar 156,000 berikutan orang ramai bergerak merentas negeri dalam tempoh itu.
Syarikat pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (Lebuhraya KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) menjangkakan lonjakan trafik daripada purata trafik harian sekitar 156,000 berikutan orang ramai bergerak merentas negeri dalam tempoh itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik ke pantai timur menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (Lebuhraya KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dijangka melonjak lebih 50 peratus bagi perjalanan sempena Aidiladha antara 29 Julai hingga 2 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, syarikat pemegang konsesi KLK dan LPT1 itu menjangkakan lonjakan trafik daripada purata trafik harian sekitar 156,000 berikutan orang ramai bergerak merentas negeri dalam tempoh itu.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dengan merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan di Twitter, @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

“TTA dikeluarkan bagi membantu pengguna merujuk kepada waktu perjalanan yang sesuai sebelum turun ke lebuh raya serta bertujuan untuk mengawal jumlah pergerakan trafik.

“Ia dilihat sebagai antara pendekatan terbaik membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada satu masa yang sama di plaza tol khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Fauzi berkata, semua kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan di hentian sebelah di lebuh raya itu dibuka kepada pengguna dengan menerapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

“Oleh itu, syarikat ingin memaklumkan bahawa kemudahan R&R atau hentian sebelah akan ditutup sementara kepada pengguna sekiranya penuh bagi mengekalkan amalan penjarakan sosial.

“Justeru, jika perkara ini berlaku, pengguna dinasihatkan untuk meneruskan perjalanan menuju kemudahan R&R atau hentian sebelah seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihati pengguna agar memastikan baki nilai kad Touch ‘n Go (TNG) mencukupi kerana tiada urusan transaksi tambah nilai kad TNG di lorong tol manakala Pusat Khidmat Pelanggan di plaza tol hanya beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang. - Bernama