Sila log masuk terlebih dahulu.

Naik taraf LTAPP: Pulau Pinang serah kepada Pusat

Kon Yeow memasang bendera ketika pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Pulau Pinang 2020 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini.
Kon Yeow memasang bendera ketika pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Pulau Pinang 2020 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini.
A
A
A

BATU KAWAN - Pulau Pinang menyerahkan kepada kerajaan Pusat dalam membuat keputusan mengenai projek menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) susulan pengumuman yang dibuat Kementerian Pengangkutan di Parlimen semalam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak akan memohon agar projek tersebut dipercepatkan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini.

Menurutnya, pihaknya memahami dengan keadaan semasa yang dihadapi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) antaranya melibatkan faktor kewangan, permohonan dan komitmen.

"Pengumuman yang dibuat menteri semalam, ia adalah (perkara) baharu. Tiada apa untuk kita (kerajaan negeri) ulas pada waktu ini.

"Bagaimanapun, disebabkan wabak ini, kerajaan negeri tidak akan meminta mereka mempercepatkan kerja ini kerana beberapa perkara perlu dipertimbangkan," katanya kepada media di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Pulau Pinang 2020 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiada siapa yang boleh menjangkakan wabak Covid-19 ini akan berakhir.

“Tapi faktanya, kelulusan pembesaran LTAPP telah dibuat sebelum Covid-19, cuma ia tergantung sementara kerana penularan wabak itu.

"Kerajaan negeri berharap kementerian akan mengambil kira mengenainya bila tiba masa yang sesuai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow berkata, buat masa ini, jumlah penumpang di LTAPP menurun kepada kurang 1,000 sehari susulan penerbangan yang dihadkan.

"Saya rasa, dengan catatan jumlah penumpang kurang dari 1,000 pada waktu ini, LTAPP masih boleh menampungnya.

"Bagaimanapun, jika wabak Covid-19 sudah berakhir dan sekatan perjalanan udara ditamatkan, kita perlu bersedia (menerima lebih ramai penumpang) tetapi dengan normal baharu,” katanya.

Semalam, Kementerian Pengangkutan menyatakan sebarang cadangan pembangunan lapangan terbang baharu termasuk cadangan pembangunan dan menaik taraf LTAPP akan hanya dipertimbangkan selepas kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Nasional (NASP) dimuktamadkan kerajaan.

Menurut Kementerian Pengangkutan, kajian NASP yang meliputi kajian semua pembangunan lapangan terbang dan landasan berlepas dan mendarat yang pendek (STOLport) dalam negara dijangka siap pada 2023 selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara.