Ikhtiar Makmur Johor bukan untuk tujuan politik: MB Johor

Hasni (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringat Negeri Johor 2020 di ruang legar Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.
Hasni (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringat Negeri Johor 2020 di ruang legar Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pelan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang dilancarkan kerajaan negeri pada pertengahan bulan lalu bukan bertujuan politik.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad menjelaskan, semua ikhtiar itu adalah usaha jangka panjang dalam meningkatkan ekonomi dan pembangunan negeri ini selepas dibelenggu pandemik koronavirus (Covid-19).

"Ini adalah usaha dan amal bakti kerajaan negeri untuk rakyat Johor. Jauh sekali merupakan ikhtiar politik atau ikhtiar yang populis.

"Pelan ini juga bertujuan mengeluarkan Johor daripada belenggu Covid-19 dan memperkasakan semula sektor ekonominya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringat Negeri Johor 2020 di ruang legar Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Exco Perpaduan, Perdagangan dan Pengguna Negeri Johor, Mazlan Bujang; Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail.

Tujuh ikhtiar tersebut dilancarkan Hasni pada 14 Jun lalu sebagai langkah berani serta luar kebiasaan untuk mengatasi kegawatan ekonomi akibat daripada Covid-19 termasuk penubuhan sebuah majlis ekonomi.

Hasni berkata, tujuh ikhtiar berkenaan adalah terjemahan keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat Johor dan tidak perlu dipolitikkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan paska Covid-19 adalah berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana tiada perarakan dan perhimpunan raksaksa namun keadaan ini tidak bermakna semangat cintakan negara pudar.

"Sebaliknya kita zahirkan dengan terus mematuhi prosedur operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan sosial kerana perjuangan menentang Covid-19 belum berakhir," katanya.

Menurut beliau, mematuhi SOP itu juga satu perjuangan kerana semua harus sedar bahawa musuh negara pada ketika ini tidak kelihatan.

"Selagi vaksin belum ditemukan, perjuangan untuk memerdekakan umat manusia daripada belenggu Covid-19 belum berakhir," katanya lagi.