Peringatan MB kepada penjawat awam Kedah

Muhammad Sanusi melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan sebagai simbolik pelancaran sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Wisma Darul Aman.
Muhammad Sanusi melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan sebagai simbolik pelancaran sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan penjawat awam di Kedah agar melaksanakan dasar-dasar kerajaan tanpa dibayangi fahaman politik bagi membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negeri.

Beliau berkata, sebagai jentera kerajaan penjawat awam sentiasa berada dalam pentadbiran untuk melaksanakan agenda pemerintahan negeri, berbanding pemimpin politik yang datang dan pergi.

Menurut beliau, penjawat awam hendaklah sentiasa berpegang kepada prinsip, nilai moral, berintegriti dan bermaruah sebagai jentera pentadbiran bawah naungan Sultan Kedah, dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Sebagai ketua kerajaan, saya harapkan sokongan padu penjawat awam. Sudah ditakdirkan, saya bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) mengambil alih pemerintahan di luar musim pilihan raya, setelah berlaku perubahan politik di peringkat Persekutuan,” katanya, ketika berucap pada perhimpunan pertama bersama penjawat awam Kedah sejak dilantik sebagai Menteri Besar pada 16 Mei lalu di Wisma Darul Aman.

Turut dilancarkan sambutan bulan kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Kedah.

Muhammad Sanusi turut mengingatkan pegawai kerajaan mahupun ahli politik di negeri ini agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan diri.

“Jangan apabila kita berada dalam kerajaan, kita mencari ruang untuk menyelitkan agenda peribadi. Ini harus dielakkan kerana perbuatan ini melanggar amanah, menjadikan kita manusia tidak bertanggungjawab.

"Perbuatan melanggar amanah, ada balasan di akhirat kelak. Dalam mana-mana kepercayaan pun, melanggar amanah adalah perbuatan dicela,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepanjang dua bulan mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah, semua pihak dilihat bergerak seiring ke arah matlamat merealisasikan hala tuju ‘Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua’.

“Matlamat kerajaan negeri ialah melaksanakan amanah Allah SWT untuk berkhidmat kepada rakyat. Apa yang kita inginkan daripada kerajaan dalam kerangka berkepentingan awam, itulah agenda kita. Berkhidmatlah kerana Allah SWT dengan ikhlas, tekun, jujur dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi mahu semua pihak bersatu hati memulihkan pasca koronavirus (Covid-19), yang telah membawa kesan terburuk, kelumpuhan ekonomi dan sosial dalam skala mega.

“Untuk ekonomi kita pulih sepenuhnya akibat gejala ini, perlukan tempoh enam tahun. Oleh itu patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jangan berasa leceh apabila diminta pakai penutup muka atau penjarakan sosial.

Kerajaan Persekutuan bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah laksanakan PKP sehingga mendapat pengiktirafan dunia, namun kesan buruk aspek ekonomi tidak dapat kita elakkan,” katanya.

Muhammad Sanusi berharap rakyat Kedah tidak ambil mudah kerana kemungkinan kerajaan terpaksa menguatkuasakan semula PKP lebih ketat sekiranya kes kembali meningkat.

“Walaupun berdepan pasca Covid-19, marilah kita semarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan norma baharu, kibarkan Jalur Gemilang di premis dan kenderaan sebagai tanda kebanggaan terhadap negara tercinta,” katanya.

Menurutnya, tiada sambutan besar-besaran diadakan pada tahun ini pada 31 Ogos dan kemungkinan diraikan secara maya bersama rakyat Kedah.