Prolintas konsesi lebuh raya pertama diiktiraf ABMS

Prolintas menjadi konsesi lebuh raya pertama memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001: 2016 bagi ABMS.
Prolintas menjadi konsesi lebuh raya pertama memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001: 2016 bagi ABMS.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan anak syarikat di bawah Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) diiktiraf pensijilan antarabangsa ISO 37001: 2016 bagi Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS).

Pensijilan itu diterima daripada badan penilaian yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia, SIRIM QAS dan United Kingdom Accreditation Service baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata, syarikat konsesi lebuh raya itu berjaya menunjukkan standard yang tinggi dalam mencegah dan mengesan jenayah rasuah bagi mencapai sijil ISO 37001.

Menurutnya, pensijilan diperoleh menerusi penilaian yang ketat dan komprehensif mengenai dasar serta prosedur anti-rasuah kumpulan yang mana memperlihatkan Prolintas memenuhi keperluan standard ditetapkan.

“Pengiktirafan ini adalah bukti komitmen kami sepenuhnya terhadap budaya kerja yang beretika dalam menjalankan perniagaan.

“Ia juga memperlihatkan prosedur dan proses dilaksanakan menepati piawaian terkenal dunia dan terus menjadi kebanggaan apabila keseluruhan latihan dilaksanakan oleh pasukan integriti dalaman,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohammad Azlan berkata, pihaknya akan terus memperketatkan semua aspek ABMS di seluruh kumpulan dan mengawasi segala perancangan serta pelaksanaan pada setiap operasi meliputi budaya etika, telus dan patuh.

Katanya, penilaian berkala terhadap sebarang risiko rasuah dan usaha dalam projek serta hubungan perniagaan juga akan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan pensijilan ini, ia memberikan faedah dan meningkatkan keyakinan kepada pihak berkepentingan seperti pemegang saham dan rakan niaga yang berpotensi.

“Prolintas melihat satu perkara yang amat penting untuk meningkatkan kesedaran, mendidik kakitangan berhubung amalan yang baik sekaligus mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah dari terus meningkat. Kami memastikan ABMS ini diaplikasikan di semua bidang kerja seperti kontrak, perolehan, sumber manusia dan lain-lain lagi,” katanya.

Menurutnya lagi, pensijilan yang memfokuskan kepada inisiatif anti-rasuah dalam penyediaan operasi lebuh raya, pembangunan dan pengurusan projek pembinaan lebuhraya dan perkhidmatan korporat membantu Prolintas membina struktur asas lebih sistematik terhadap inisiatif kawalan integriti.

Katanya, ia seterusnya membantu sistem agar lebih teratur dan cekap.

Dalam pada itu, lapan pensijilan diperoleh termasuk Sistem Pengurusan Anti Rasuah bagi Penyediaan Operasi Lebuhraya AKLEH, LKSA, SILK dan GCE; Sistem Pengurusan Anti Rasuah bagi Penyediaan Pembangunan dan Pengurusan Projek Pembinaan Jalan Raya SUKE dan DASH dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah bagi Penyediaan Pengurusan Projek Pembinaan Jalan Raya - Turnpike Synergy Sdn. Bhd.

Pensijilan itu juga diperoleh untuk Sistem Pengurusan Anti Rasuah bagi Penyediaan Operasi Lebuhraya, Pembangunan dan Pengurusan Projek Pembinaan Jalan Raya dan Perkhidmatan Korporat - Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd.

Untuk rekod, ABMS menetapkan syarat dan memberikan panduan kepada Prolintas untuk merancang, melaksana, mengekal dan memperbaiki sistem pengurusan anti-rasuah, yang membantu untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap jenayah rasuah bagi mematuhi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Akta 2009 (Akta 694) dan undang-undang serta peraturan anti-rasuah lain.