X

Kindly register in order to view this article
!

Perantau perlu patuh SOP Aidiladha: MB Kelantan

Ahmad (dua dari kiri) merasmikan program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim.
A
A

KOTA BHARU - Perantau yang pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di negeri ini diingatkan supaya mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pematuhan SOP itu adalah salah satu usaha memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang menunjukkan trend menaik mutakhir ini.

"Selain anak-anak perantau, rakyat tempatan perlu terus kekal mengamalkan SOP termasuklah semasa melaksanakan ibadah korban.

"Saya harap sangat kita tidak mengambil ringan SOP kerana ia adalah salah satu usaha untuk mencegah Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, Kelantan akan mempraktikkan segala SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan dalam melawan Covid-19.

Katanya, beliau berharap rakyat terus berdoa agar Malaysia kembali bebas daripada penularan wabak ini dengan secepat mungkin.

"Kerajaan negeri juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada barisan hadapan yang telah memberikan khidmat terbaik dalam membendung penularan wabak itu," katanya.

Mengulas mengenai sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu mengajak orang ramai untuk menghayati pengorbanan yang telah dicurahkan oleh pejuang terdahulu.

Katanya, pejuang kemerdekaan terdahulu termasuklah golongan ulama sanggup mengorbankan nyawa bagi memastikan negara mencapai kemerdekaan dan bebas dari belenggu penjajah.

"Sebab itulah kita mahu pupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat agar mereka merasai roh perjuangan para pejuang terdahulu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!