Empat polis tidak mengaku salah rasuah

Empat anggota polis didakwa menerima dan meminta rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
Empat anggota polis didakwa menerima dan meminta rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan rasuah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Koperal Mohd Shahir Ahmad Dewi, 33; Konstabel Mohamad Zulhisham Zulkafli, 30; Koperal Muhamad Azim Muhammad Adnan, 34 dan Lans Koperal Mohamad Syukur Gulam Mohammad, 30 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Kesemua mereka didakwa bersama-sama meminta rasuah wang tunai RM7,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan melepaskan lelaki itu dan seorang rakannya yang ditahan atas kesalahan dadah.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kereta, iaitu semasa dalam perjalanan dari Balai Polis Kangkar Pulai ke Balai Polis Gelang Patah, di sini, kira-kira 11 malam, 10 April 2018.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan kedua pula kesemua tertuduh didakwa menerima rasuah RM1,600 daripada seorang lelaki bagi melepaskan mangsa dan rakannya daripada ditahan akibat kesalahan memiliki dadah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru Kangkar Pulai pada jam 4 pagi, 11 April 2018.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut seksyen sama serta dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman yang sama penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Mohamad Shahir menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu meminta rasuah RM1,400 daripada mangsa dan dorongan yang sama di Taman Sri Pulai di sini pada jam 12.15 tengah malam, 12 April 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hakim, Kamarudin Kamsu membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan kes pada 27 Ogos depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Nor Shahid Abd Malik dan Mohd Hamizi Mohd Yusof.