Tindakan undang-undang pihak perlekeh tugas bomba

Sayani memeriksa barisan kawalan kehormatan pasukan JBPM Perak dalam Majlis Perbarisan Tahunan 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Peringkat Perak.
Sayani memeriksa barisan kawalan kehormatan pasukan JBPM Perak dalam Majlis Perbarisan Tahunan 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Peringkat Perak.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan mempertimbangkan tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang mencemuh tugas anggotanya.

Timbalan Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, sejak akhir-akhir ini, pelbagai cemuhan diterima terutama komen netizen menerusi media sosial yang dilihat tidak menghargai usaha penyelamatan dilakukan anggota bomba.

Beliau berkata, komen dan tindakan keterlaluan itu dilihat menjatuhkan reputasi dan menjejaskan motivasi anggota JBPM yang memberikan komitmen membantu masyarakat.

“Saya rasa sedih apabila ada pihak khususnya netizen mencemuh tugas bomba yang sangat mencabar. Kalau anggota bomba yang bertungkus lumus membantu menyelamat ini terus dikecam, ia boleh menjejaskan motivasi mereka.

“Jadi, kami memikir tindakan meminta maaf sahaja tidak cukup sebaliknya hukuman undang-undang juga perlu dikenakan ke atas mana-mana pihak yang mencemuh ini sebagai pengajaran kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan sempena Majlis Perbarisan Tahunan 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Peringkat Perak di perkarangan Ibu Pejabat JBPM Perak, Bandar Meru Raya di sini, hari ini.

Sayani berkata, selama ini JBPM lebih banyak berdiplomasi terhadap tindakan sedemikian tetapi tindakan itu seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada individu yang tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat dan JBPM perlu saling memahami antara satu sama akan tugas yang dilaksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan: