Empat kes baharu direkodkan di Sabah semalam

Pertambahan itu menjadikan jumlah kes Covid-19 direkodkan di Sabah 389.
Pertambahan itu menjadikan jumlah kes Covid-19 direkodkan di Sabah 389.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan empat kes baharu positif koronavirus (Covid-19) semalam iaitu masing-masing dua kes di Penampang dan Kota Kinabalu.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, dengan penambahan itu sehingga semalam Sabah merekodkan 389 kes Covid-19.

"Kes ke-386 adalah seorang lelaki tempatan dari daerah Kota Kinabalu dan kes ini telah mendapat rawatan awal di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth sebelum dikesan positif Covid-19 semasa saringan untuk kemasukan ke wad.

"Kes ke-387 merupakan seorang lelaki warganegara dari daerah Penampang yang dikesan positif Covid-19 semasa saringan sebelum pembedahan di Hospital Queen Elizabeth," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes ke-388 pula adalah seorang wanita warganegara dari daerah Penampang yang dikesan positif Covid-19 semasa aktiviti saringan pengembara dari luar negara.

"Kes ke-389 pula adalah seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia dari daerah Kota Kinabalu yang telah dirujuk dari klinik kesihatan dan dikesan positif Covid-19 semasa aktiviti saringan sebelum kemasukan ke wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah," katanya.

Dr Christina berkata, kes ke-386, ke-387 dan ke-388 telah dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

"Hasil siasatan mengkategorikan kes ke-386, ke-387 dan ke-389 sebagai jangkitan tempatan, manakala kes ke-388 dikategorikan sebagai kes import A," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Penampang telah mengenal pasti kesemua kontak dan mereka dikehendaki menjalani ujian saringan. - Bernama