Muhyiddin lancar Bulan Kebangsaan, Kempen Kibar Jalur Gemilang

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto 123RF
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Sebaik tiba, bacaan doa akan diadakan sebelum Muhyiddin menyampaikan amanat sempena majlis pelancaran itu diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku.

Ia akan diiringi pancaragam Angkatan Tentera Malaysia sebelum persembahan lagu tema sambutan Malaysia Prihatin oleh kumpulan Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia.

Perdana Menteri kemudian akan melepaskan kembara Info On Wheels (IOW) Merdeka.

Program kembara IOW Merdeka bertujuan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai peringkat, hebahan mesej kenegaraan, menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang di samping sebahagian pengisian Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Selain di Putarajaya, program yang sama turut diadakan di peringkat negeri dengan majlis pelancaran disempurnakan oleh menteri besar masing-masing iaitu Perak, Johor, Selangor, Kelantan, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Perlis.

Acara sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini diadakan secara sederhana berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) menyaksikan tiada acara perbarisan dilakukan seperti kelaziman.

Artikel Berkaitan:

Selain majlis pelancaran itu, dua lagi acara utama yang akan turut diadakan adalah Sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 September.

Sebelum itu turut diadakan sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bermula 9 Julai lalu. - Bernama