13 bot nelayan asing jadi tukun tiruan

Che Abdullah (tengah) membunyikan hon untuk memberi isyarat bermulanya operasi menenggelamkan tiga buah bot yang dijadikan tukun tiruan di perairan Kuala Besar semalam.
Che Abdullah (tengah) membunyikan hon untuk memberi isyarat bermulanya operasi menenggelamkan tiga buah bot yang dijadikan tukun tiruan di perairan Kuala Besar semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 13 bot nelayan yang dilucutkan hak dijadikan tukun tiruan sepanjang tahun ini bagi membantu menambah ekosistem hidupan laut.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jumlah tersebut termasuklah dua bot jerut dan sebuah bot tunda yang ditenggelamkan di perairan Kuala Besar semalam.

“Tiga buah bot rampasan asing ini telah dilucut hak di bawah Akta Perikanan 1985 dan pelupusan bot sebagai tukun tiruan bagi pemuliharaan sumber stok ikan.

“Pelupusan bot dengan kaedah penenggelaman memberikan manfaat kepada para nelayan kerana ia akan menjadi habitat perikanan yang baharu sekali gus dapat menjana ekonomi nelayan itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan operasi penenggelaman tukun tersebut di perairan Kuala Besar di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, bot yang ditenggelamkan di kawasan lingkungan lima batu nautika daripada pesisir pantai bagi mengelakkan berlakunya pencerobohan pukat tunda.

Malah katanya, kerajaan amat mengharapkan pelupusan bot-bot rampasan itu akan memberi amaran dan pengajaran kepada mana-mana bot asing yang cuba menceroboh perairan Malaysia.

“Pihak kami amat prihatin berkaitan isu pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara yang mengakibatkan ketirisan hasil laut yang dianggarkan bernilai RM6 bilion setahun.

Artikel Berkaitan:

“Oleh sebab itu, kami sentiasa komited melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membanteras pencerobohan terutamanya di perairan Pantai Timur Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kadar denda yang dikenakan kepada penceroboh, Che Abdullah berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan 2019) mendapat kelulusan di Parlimen bagi meningkatkan kadar denda.

“Ia melibatkan denda maksimum bagi nakhoda bot asing yang menceroboh perairan Malaysia dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta selain penalti bagi tiap-tiap anggota krew juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000,” katanya.