Cara pendidik menyantuni pelajar

No Image Caption
A
A
A

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 banyak mengajar ramai insan menjadi lebih berempati dengan nasib yang dilalui insan-insan lain. Ada yang kehilangan pekerjaan, kemurungan kerana terlalu lama berkurung dalam rumah dan tidak selesa menyendiri dalam dunia sendiri.

Dalam konteks pendidikan pula, pensyarah dan guru sebagai pendidik berhadapan dengan cabaran besar untuk mengajar dalam platform digital. Ada pelajar yang tidak mendapat akses internet yang berkualiti, ada yang tidak mahir menggunakan platform pembelajaran digital dan ada juga yang tidak mendapat sokongan yang sebaiknya akibat tidak bertemu secara berdepan.

Saat-saat PKP telah membentuk satu titik penting buat pendidik untuk menjadi lebih cakna dengan nasib pelajar.

Bersangkutan saat-saat berlakunya PKP tersebut, pendidik telah didorong untuk membentuk satu kebolehan yang penting iaitu kemampuan menyantuni pelajar. Pendidik yang mempunyai ciri mudah didekati adalah satu ciri penting pendidik yang berwibawa. Ini termasuklah pendidik bercitra seseorang yang berwajah ceria. Senyuman mempunyai tarikan tersendiri dalam menampilkan keceriaan wajah.

Sesuai dengan fitrah manusiawi, insan yang kelihatan ceria dan suka tersenyum akan lebih mudah didekati berbanding dengan yang bermuka masam.

Selain itu, ciri mudah didekati juga bermaksud pendidik melayan pertanyaan dan panggilan yang dibuat oleh pelajar. Membalas mesej pelajar, membuat semula panggilan ketika tidak dapat menjawab panggilan sebelumnya dan bertanyakan khabar antara usaha membina sifat mudah didekati. Ini juga menonjolkan sifat profesionalisme yang tinggi dalam kalangan pendidik.

Aspek kedua ialah keupayaan menjadi seorang pendengar yang baik. Ini termasuklah memahami cabaran yang dihadapi pelajar untuk mendapat pembelajaran berkualiti dalam medium internet kerana rata-rata pelajar tidak biasa dengan pendekatan pembelajaran dalam talian dan secara tradisi belajar secara bersemuka. Emosi

Pendidik mampu menjadi pendengar yang baik andai dalam diri mereka bersedia meluangkan masa seketika mendengar pandangan pelajar dan mengambil kira keluhan dan rintihan pelajar. Menjadi pendengar yang baik adalah langkah permulaan kepada menjadi seorang pendidik yang mudah menyantuni pelajar.

Artikel Berkaitan:

Maklum balas yang diberi oleh pendidik kepada pelajar memainkan peranan penting dalam membina hubungan yang lebih bermakna antara kedua-dua pihak. Dalam soal memberi maklum balas tentang kelemahan pelajar, pendidik amat perlu peka terhadap unsur emosi. Tidak semua pelajar dapat menerima serta-merta maklum balas yang menyentuh kelemahan diri mereka.

Namun, dengan pendekatan yang lebih positif dalam memberi maklum balas, pendidik boleh menukar nada maklum balas kepada yang lebih berorientasikan nilai-nilai pengembangan potensi pelajar secara berterusan.

Penulis percaya bahawa misi menjadi pendidik berwibawa adalah satu matlamat jangka panjang kerana banyak cabaran untuk menjadi pendidik sebegini. Tentu saja kesabaran pendidik akan teruji dengan tindak-tanduk para pelajar.

Namun, dengan cabaran sebeginilah pendidik akan menjadi lebih matang untuk bijaksana menangani sifat dan sikap pelajar yang kompleks dan pelbagai. Akhirnya, dengan kesabaran dan kebijaksanaan pendidik, mereka akan kekal diingati dengan akhlak terpuji dan bahkan diingati setelah pendidik meninggalkan dunia ini.

* Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)