X

Kindly register in order to view this article
!

Zahid minta urus kemasukan wang tunai ke akaun Yayasan Akalbudi

Ahmad Zahid
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurup wang Omar Ali Abdullah, individu yang didakwa melakukan pengubahan wang haram bagi pihak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta pertolongannya untuk menguruskan kemasukan wang tunai iaitu sumbangan kebajikan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

Omar Ali, 48, berkata, Ahmad Zahid juga ada memberitahunya bahawa kesemua penyumbang yang akan menghubunginya datang dari Yayasan Al Bukhari (YALB).

"Saya tidak pernah bertanya (Ahmad Zahid) kenapa (berbuat demikian) dan hanya mengikut sahaja arahannya. Tertuduh (Ahmad Zahid) telah beritahu saya wang tunai itu semua sumbangan bagi tujuan kebajikan dan jika saya membantunya untuk tukarkan wang tunai tersebut kepada cek, saya juga akan mendapat ganjaran pahala kebaikan hasil dari pertolongan saya itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-26 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.

Saksi pendakwaan ke-81 itu yang tidak mengetahui mengapa dia dipilih untuk berbuat demikian berkata, Ahmad Zahid memintanya untuk mengambil wang tunai tersebut daripada penyumbang itu dan menukarkannya dalam bentuk cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

Omar Ali yang mengenali Ahmad Zahid sejak berusia awal 20-an berkata, beberapa lelaki daripada YALB akan menghubunginya dan berjumpa di beberapa lokasi antaranya di tingkat aras bawah Plaza Fahrenheit, lobi Hotel Marriot dan lobi Hotel Grand Millennium.

"Saya telah menerima panggilan pertama daripada seorang lelaki tidak dikenali yang ingin berjumpa di aras bawah Plaza Fahrenheit dan lelaki tersebut memberikan duit dalam bagasi.

"Kami tidak berbual dan bertanya apa-apa, setelah mengambil beg tersebut saya terus pergi ke kereta saya dan terus pulang ke rumah. Apabila sampai di rumah, saya telah membuka beg tersebut dan mengira duit di dalamnya," katanya dan memaklumkan kemungkinan duit itu berjumlah lingkungan setengah juta.

Beliau yang merupakan pemilik syarikat Marhaba Enterprise Sdn Bhd yang menjalankan perkhidmatan tukaran wang asing sejak 2003 berkata, setiap kali menerima wang tersebut beliau akan segera menukarkannya kepada cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi seperti arahan Ahmad Zahid.

"Setelah menerima wang tunai dari lelaki yang tidak dikenali itu, tertuduh akan menghubungi saya melalui telefon dan sering meminta saya untuk segera menukarkan wang tunai yang diterima itu kepada cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

"Kebiasaannya saya akan mengambil masa antara satu atau dua minggu bagi menukarkan wang tunai itu kepada cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi. Apabila selesai menukarkan semua wang tunai kepada cek, saya akan serahkan semua slip bank yang mengesahkan cek yang telah dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi kepada tertuduh di rumahnya," katanya.

Saksi itu berkata, semasa beliau berada di rumah Ahmad Zahid sekitar awal tahun 2016 untuk menyerahkan slip bank, tertuduh mengarahkannya supaya memasukkan wang tunai yang ditukar kepada cek ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

"Saya tidak bertanya tertuduh mengapa wang tunai yang diterima oleh saya perlu ditukarkan kepada cek dan mengapa cek yang saya terima hasil daripada tukaran wang tunai tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi tetapi ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.

"Selepas itu, saya telah dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dan ingin berjumpa dengan saya untuk serahkan wang tunai sama seperti sebelum ini,” katanya dan menambah bahawa dia kemudiannya menerima wang berkenaan daripada lelaki tersebut.

Mengikut pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa telah mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 membabitkan 30 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!