Ada harga harus dibayar

A
A
A

KEMASYHURAN dan wang yang banyak. Dua faktor itu merupakan antara penyebab utama lahirnya ramai YouTuber dan golongan itu akan menghasilkan pelbagai kandungan demi meraih jumlah tontonan yang tinggi.

YouTube akan membayar para pencipta video itu dengan habuan yang sangat besar, bergantung kepada populariti yang diraih.

Laman media sosial itu mempunyai lebih 2 bilion pengguna yang kebanyakan mereka berusia di antara 18 tahun hingga 34 tahun serta diakses di lebih 100 negara selain menggunakan 80 bahasa.

Untuk menjana pendapatan daripada YouTube yang ditonton 1 bilion jam sehari, akaun anda perlu mempunyai 1,000 pelanggan dan 4,000 minit masa tontonan.

Jika menepati kedua-dua syarat itu, anda boleh link akaun YouTube dengan Adsense yang akan digunakan untuk pembayaran.

Bagaimanapun, bagi segelintir orang, di sebalik kemasyhuran dan kesenangan diperoleh itu, ada harga yang harus dibayar.

Pasangan YouTuber popular, Sugu dan Pavithra sebelum ini membuat keputusan untuk tidak lagi mempunyai kaitan dengan laman media sosial itu.

M Sugu, 29, berkata, kesemua video yang pernah dimuat naik di saluran YouTube bersama isterinya, S Pavithra, 28, sebelum ini dipadamkan kerana mereka tidak mahu lagi terbabit dengan apa sahaja yang boleh meraih perhatian umum.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dibuat gara-gara liputan meluas di media massa yang diterima pasangan itu susulan isu keluarga serta kes mahkamah melibatkan mereka berdua baru-baru ini.Pasangan itu dianggap YouTuber sensasi di negara ini apabila berjaya menarik sehingga lebih 700,000 pengikut dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, semalam Bernama melaporkan Sugu akan memuat naik video baharu mereka di saluran YouTube Sugu Pavithra selepas perbincangan dengan beberapa pihak selesai. Namun setakat jam 6 petang semalam masih tiada video dimuat naik oleh pasangan terbabit.

Kecaman

Jika Sugu dan Pavithra berjaya menambat hati rakyat Malaysia kerana video masakan, sekumpulan anak muda yang terdiri daripada lima individu memperoleh populariti dalam tempoh singkat dek kerana eksperimen sosial yang dipaparkan.

Video seorang wanita sanggup curang terhadap kekasihnya selepas disogok wang sebanyak RM20,000 pantas meraih perhatian warganet.

Namun, walaupun video yang dimuat naik seminggu lalu dan mendapat 1.9 juta tontonan itu dikecam teruk, geng itu tetap mempertahankannya dengan alasan tersendiri.

Menafikan video itu merupakan lakonan semula mereka, geng itu mendakwa hanya ingin menyampaikan mesej.

Mungkin niatnya hanya untuk memaparkan realiti kehidupan namun tanpa disedari, ada pihak yang terluka dan terkesan teruk akibat penularan visual berkenaan.

Belum reda dua isu yang rancak dibahas oleh mak cik bawang itu, kecoh pula mengenai kenyataan bahawa segala bentuk penggambaran memerlukan Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), kononnya termasuk rakaman media sosial peribadi.

Sebaik berita tersebar, golongan personaliti media sosial keliru mengenai syarat tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menjelaskan tiada arahan dikeluarkan kepada pengguna platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan TikTok untuk memohon Lesen Pengeluaran Filem dan SPP seperti yang tular.

Idham mendakwa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu terbabit dengan memutarbelitkan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat.

Menurut Idham, sebagai badan yang bertanggungjawab membantu meningkatkan pembangunan industri perfileman dan kandungan digital, tugas FINAS lebih kepada menggalakkan penghasilan lebih banyak idea kreatif, bukannya menyekat kreativiti pengguna media sosial.

Bukan hanya YouTube akan membayar untuk video yang dihasilkan oleh pengguna laman sosial itu, Tiktok juga menyuntik dana sebanyak AS$200 juta (RM850 juta) untuk pencipta video di laman mereka. Untuk sertai TikTok, pengguna mestilah berumur 18 tahun dan ke atas, kandungan video yang asli dan mempunyai pengikut.

Apapun, dalam keghairahan untuk menempa nama dan meraih pendapatan lumayan menerusi platform media sosial, pencipta video atau YouTuber diharap tidak mengetepikan adab, nilai dan norma manusia.

Tidak kira sama ada tutorial hijab, demonstrasi masakan, video prank atau eksperimen sosial, janganlah sampai content anda itu dikategorikan sebagai ‘sampah’.