WTP: Terengganu kena sedia alternatif lain

Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim
Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) memuji kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat yang dilihat begitu matang dan profesional dalam menangani isu Wang Tunai Petroleum (WTP) hingga Terengganu bakal menerima kira-kira RM1.5 bilion pada tahun ini.

Penaungnya, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, namun begitu beliau percaya perkembangan itu memberi sedikit kerisauan kepada kerajaan negeri apabila WTP itu berkemungkinan tidak diperolehi sepenuhnya berikutan penstrukturan semula bayaran hutang kepada Pusat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri bersedia dengan alternatif lain sekiranya tidak berjaya mendapatkan jumlah sebagaimana dimaklumkan kerana kerajaan mempunyai janji perlu ditunaikan kepada rakyat selain memastikan pelaksanaan Bajet 2019 dapat berjalan secara tuntas.

“Antara perkara yang boleh diusahakan adalah dengan memastikan kebajikan golongan miskin dan asnaf tidak terpinggir namun dalam masa sama, kita digalakkan mendidik rakyat menjadi lebih berdikari dari segi ekonomi dan sosial.

“Apa yang dicadangkan adalah memartabatkan kembali sistem ekonomi Islamik atau ‘Sistem Ekonomi Wakaf’ sebagaimana telah dilaksanakan oleh kerajaan Islam Uthmaniyyah dahulu kala.

“Sebagai contoh, kerajaan boleh membina sebuah hub pasaran dan pembuatan berasaskan perikanan seperti ikan kering besar-besaran dan mengambil pekerja di kalangan keluarga nelayan berstatus asnaf.

"Ini sekali gus membantu golongan nelayan menjana pendapatan walaupun musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Artikel berkaitan : Terengganu rayu struktur semula bayaran hutang

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan membina hub kilang ais menepati syariah yang mampu menyediakan ais berkualiti tinggi pada harga lebih murah dari pasaran luar kepada warga nelayan.

Beliau berkata lagi, projek seperti itu boleh dilaksanakan dengan menggunakan modal daripada WTP dan ia dilihat bersifat terus menjana keuntungan dan bukanlah semata-mata diberi sebagai ‘one-off’.

Kerabat diraja Terengganu itu juga menyarankan kerajaan negeri menggalakkan lebih Foreign Direct Investment (FDI) dan penswastaan kepada projek-projek kerajaan negeri dan pembangunan negeri Terengganu lainnya selagi pelabur luar itu bekerjasama dengan syarikat tempatan.

“Apabila berlakunya perubahan kerajaan negeri pada PRU lepas, kita mengharapkan transformasi dalam pentadbiran kerajaan negeri agar kos lebih efektif dan cekap. Ada antara agensi diwujudkan ketika kerajaan BN lepas dilihat tidak lagi relevan atau mempunyai fungsi tidak jelas atau bertindan dengan PBT sedia ada.

“Adalah lebih baik sekiranya agensi-agensi ini dimansuhkan dan proses birokrasi dikurangkan, ini bukan saja menjimatkan masa bahkan mengurangkan kos pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya pasti ada beberapa lagi solusi lain yang lebih efektif dalam menangani masalah berkaitan WTP dan saya yakin kerajaan negeri hari ini mampu menyelesaikannya ibarat menarik rambut dalam tepung, ramput tidak putus dan tepung tidak berselerak.

“Walau apa juga tindakan bakal diambil, sebagai pemimpin kita hendaklah sentiasa meletakkan kebajikan rakyat di hati kerana tiada pemimpin yang berdiri hari ini kalau bukan kerana ada rakyat yang percaya, menyokong dan mengangkatnya sebagai pemimpin,” katanya.