Isu kanak-kanak tanpa pengenalan, pelarian dibangkit ahli Parlimen

Sebahagian kanak-kanak pelarian yang juga pemegang kad UNCHR. - Gambar hiasan daripada Mapim
Sebahagian kanak-kanak pelarian yang juga pemegang kad UNCHR. - Gambar hiasan daripada Mapim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu mengenai dokumen pengenalan diri kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, pelarian dan pendatang tanpa izin, adalah antara perkara yang dibangkitkan ahli Parlimen pembangkang ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) menekankan, perkara itu perlu diberi keutamaan kerajaan, terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Isu ini memberi kesan masa panjang kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, yang akan mengakibatkan mereka tercicir daripada mendapat pendidikan dan perkhidmatan kesihatan sewajarnya, serta membesar tanpa berpeluang mendapat pekerjaan atau tidak boleh ke luar negara,” katanya sambil memberitahu bahawa perkara itu sebelum ini telah dibawa ke KDN.

Justeru, Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanya, apakah status kajian atau adakah satu keputusan telah dicapai mengenai laporan ujian DNA dijadikan bukti konklusif, sebagai penganugerahan kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbabit.

Beliau juga mencadangkan kepada KDN agar mempermudahkan cara dan memberi keutamaan terhadap permohonan kewarganegaraan, yang dikemukakan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Senada dengan Hannah, Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) turut meminta kerajaan mengemukakan syarat, prosedur dan proses permohonan kewarganegaraan, bagi kanak-kanak tempatan tanpa dokumen dalam negara, di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga ingin tahu mengenai cabaran kerajaan dalam menangani isu ini, selain perancangan kerajaan untuk memberi bantuan kepada permohonan kewarganegaraan kanak-kanak di Sabah, memandangkan topografi negeri itu adalah kebanyakannya kawasan pedalaman.

Perkara 15A memperuntukkan kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak, di mana Kerajaan Persekutuan boleh dalam apa-apa hal keadaan yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang di bawah usia 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh hal berkaitan pendatang tanpa izin di Sabah pula, Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) berkata, ia mampu memberi impak serius sekiranya kerajaan tidak bertindak menangani permasalahan itu.

Menurutnya, berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan 2019, daripada 3.9 juta penduduk di Sabah, 28.9 peratus yang berdaftar adalah bukan warganegara, iaitu kira-kira 1.13 juta penduduk negeri itu didaftarkan sebagai bukan warganegara sama ada pemegang IMM13, Kad Burung-burung, Sijil Banci, tanpa negara dan seterusnya.

Vivian berkata, pas IMM13 pada awalnya dikeluarkan untuk pelarian dari Selatan Filipina, yang lari ke Sabah pada awal tahun 1970-an, akibat pergolakan awam di Wilayah Mindanao.

“Pejabat United Nations High Commissioner for Refugees di Sabah juga telah ditutup pada 1987...dan 30 tahun kemudian, kenapa kita masih keluarkan pas pelarian,” soalnya.

Dalam pada itu, beliau juga ingin tahu garis panduan pendatang tanpa izin, yang berhak untuk memohon pas IMM13, sama ada anak dan cucu pemegang pas itu juga layak menjadi pemegang IMM13, dan adakah anak-anak mereka dibenarkan hadir ke sekolah kebangsaan, serta menerima rawatan di hospital kerajaan.

KDN pada Jun lepas dilapor bercadang menyeragamkan dokumen pendatang asing tanpa izin di Sabah, dengan hanya menggunakan satu dokumen iaitu IMM13, sebagai antara strategi memudahkan untuk mengenal pasti golongan itu di negeri ini.

Sementara itu Mohammad Sabu (PH-Kota Raja), meminta kerajaan supaya terus memerangi sindiket yang mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi warga asing, khususnya golongan pelarian. - Bernama