MDKS keluar 14 kompaun terhadap kenderaan berat

Sebahagian kenderaan berat yang dikompaun dalam operasi bersepadu berkenaan.
Sebahagian kenderaan berat yang dikompaun dalam operasi bersepadu berkenaan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengeluarkan 14 kompaun terhadap kenderaan berat yang diparkir di kawasan taman perumahan, medan perniagaan dan bahu jalan kerana menghalang laluan jalan.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, operasi bersepadu itu bermula selama empat jam pada jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 17 Julai lalu.

Menurutnya, seramai 14 anggota terdiri daripada Jabatan Penguatkuasaan MDKS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbabit dalam operasi yang dijalankan di sekitar Bestari Jaya, Kampung Kuantan dan Taman Bendahara.

"Operasi ini dijalankan berikutan aduan awam mengenai kenderaan berat yang diparkir di kawasan awam sehingga mengakibatkan kerosakan jalan dan mengganggu keselamatan penduduk.

"Sebanyak 14 kompaun dikenakan di bawah Undang-undang Kecil Taman (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2005 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan oleh MDKS atas kesalahan halangan kenderaan berat," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Dalam pada itu katanya, sebanyak tujuh saman dikeluarkan polis dan empat saman lagi daripada JPJ atas pelbagai kesalahan lain.

"Operasi bersepadu ini akan dijalankan daripada masa ke masa dan orang awam boleh melaporkan aduan berkaitan perkara ini secara dalam talian di https://selangor.spab.gov.my atau menghubungi talian 03-32891439," katanya.

Artikel Berkaitan: