24 pelarian Rohingya terjun laut diselamatkan APMM

Mohd Zawawi menunjukkan lokasi penemuan etnik Rohingya yang diselamatkan. -Foto: APMM Kedah/Perlis
Mohd Zawawi menunjukkan lokasi penemuan etnik Rohingya yang diselamatkan. -Foto: APMM Kedah/Perlis
A
A
A

LANGKAWI - Seramai 24 migran dipercayai Rohingya yang dikhuatiri lemas selepas didakwa terjun ke laut dari sebuah bot untuk berenang ke pantai Langkawi pada Sabtu lalu, ditemui selamat oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 6.15 petang semalam.

Pengarah APMM Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, penemuan itu adalah susulan aduan daripada seorang nelayan tempatan yang menjumpai seorang lelaki Rohingya di Pulau Rebak Besar.

Menurutnya, sebuah aset bot KILAT APMM digerakkan ke lokasi dan menemui lelaki berkenaan sebelum dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan ke atas migran tersebut, kami dimaklumkan terdapat 26 lagi migran masih bersembunyi di pulau tersebut.

Susulan itu, bot KILAT dan Kapal KM GAGAH diarah ke lokasi sama dan turut disertai aset daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata, hasil pencarian anggota penyelamat telah menemukan 26 orang lagi migran.

“Kesemua migran dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk siasatan lanjut dan saringan awal koronavirus (Covid-19) dilakukan sebelum diserahkan kepada Imigresen. Berikutan penemuan kesemua 27 migran tersebut, Operasi SAR ditamatkan malam tadi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sekumpulan etnik Rohingya yang diselamatkan selepas terjun ke laut dari sebuah bot Sabtu lalu untuk berenang ke pantai Langkawi. -Foto: APMM Kedah/Perlis
Sekumpulan etnik Rohingya yang diselamatkan selepas terjun ke laut dari sebuah bot Sabtu lalu untuk berenang ke pantai Langkawi. -Foto: APMM Kedah/Perlis

Menurutnya, siasatan mendapati kemasukan migran tersebut mempunyai kaitan dengan bot nelayan tempatan yang bertindak sebagai 'transporter' dan tekong darat warga tempatan yang bersubahat menyeludup migran memasuki Langkawi.

“Kami kesal dengan sikap segelintir masyarakat tempatan yang sanggup berbuat demikian demi habuan wang ringgit tanpa menghiraukan soal keselamatan dan kedaulatan tanah air,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, modus operandi sindiket ini menggunakan taktik menyeludup migran yang dipindahkan dari bot induk yang berada berhampiran sempadan perairan negara ke bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Pihak ‘National Task Force’ dan APMM memandang serius perkara ini dan akan terus giatkan usaha meningkatkan kawalan dan pemantauan khasnya ke atas semua jenis bot di perairan ini. Kami berharap seluruh komuniti maritim berganding bahu memerangi sindiket penyeludupan migran ini,” katanya.