Dewan sempena nama Allahyarham Adib

Dari kiri, Asma, Mohd Kassim, Mohd Zahar dan Rozmey selepas majlis penyampaian sumbangan di Dewan Muhammad Adib, dekat sini. Turut kelihatan Mohd Saidi (kanan).
Dari kiri, Asma, Mohd Kassim, Mohd Zahar dan Rozmey selepas majlis penyampaian sumbangan di Dewan Muhammad Adib, dekat sini. Turut kelihatan Mohd Saidi (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Keluarga Allahyarham PBK II Muhammad Adib Mohd Kassim terharu apabila dewan baharu di Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kedah di Jalan Suka Menanti, dekat sini dinamakan sempena nama wira merah tersebut.

Bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abd Hamid berkata, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang, menunjukkan keprihatinan termasuk memberi sokongan moral kepadanya sekeluarga.

"Saya terharu dengan anugerah ini (dewan dinamakan sempena Allahyarham Muhammad Adib)," katanya yang ditemui media di Majlis Penyampaian Sumbangan Ikhlas JBPM Kedah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib di dewan tersebut, tengahari tadi.

Lebih 200 anggota bomba dari 19 balai bomba di seluruh Kedah hadir pada program menyertai majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat kepada Allahyarham Muhammad Adib selepas solat Zohor di Surau Ibu Pejabat JBPM Kedah.

Tambah Mohd Kassim, beliau berharap inkues berhubung kematian anaknya itu akan segera selesai agar pembelaan dan keadilan dapat ditegakkan.

Allahyarham, 24, merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba Subang Jaya parah dipercayai diserang dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018.

Sementara itu, Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Mohd Zahar Abdullah berkata, ibu pejabat termasuk Dewan Muhammad Adib yang bernilai RM32 juta tersebut baru beroperasi dua bulan yang lalu dan masih belum dirasmikan lagi.

Menurutnya, cadangan untuk menamakan dewan tersebut sempena nama wira merah itu adalah hasil idea yang disuarakan oleh pegawai-pegawainya sebagai penghormatan kepada Allahyarham dan akan dirasmikan oleh pegawai tertinggi JBPM.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana negeri memang ada nama dewan, jadi sempena dewan kami yang belum ada nama lagi, cadangan dari pegawai-pegawai kami adalah mengambil nama Allahyarham Muhammad Adib.

"Pada majlis ini juga, kami turut menyampaikan sumbangan seluruh ahli bomba di Kedah membabitkan hasil kutipan dari kira-kira 770 ahli bomba yang dilancarkan sebelum ini.

"Tabung sumbangan buat Allahyarham Muhammad Adib juga setakat ini masih belum ditutup dan orang ramai masih boleh memberi sumbangan ataupun terus kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Turut menyampaikan sumbangan adalah tokoh perniagaan, Datuk Dr Rozmey Che Din dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia diwakili Mohd Saidi Ismal.

Hadir sama ibu Allahyarham, Asma Aziz.