Gelombang ketiga Covid-19 dalam masa terdekat

Gelombang ketiga Covid-19 boleh berlaku dengan kewujudan kluster baharu saban hari.
Gelombang ketiga Covid-19 boleh berlaku dengan kewujudan kluster baharu saban hari.
A
A
A

PUTRAJAYA - Gelombang ketiga pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini akan tiba dalam masa terdekat sekiranya pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) tidak diendahkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia turut didorong dengan kewujudan kluster baharu saban hari.

"Kluster baharu ini ibarat bara api manakala ketidakpatuhan SOP adalah bahan api.

"Jika bahan api mendekati bara, ia akan menyebabkan kebakaran besar iaitu peningkatan kes yang mendadak," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, sekiranya kes kembali meningkat dengan mendadak, hospital tidak mempunyai keupayaan untuk merawat pesakit.

"Kalau boleh kita kawal bahan api mendekati bara iaitu dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan sosial dan cuci tangan dengan sabun.

"Kalau kita kembali patuh kepada SOP, kehidupan harian boleh berjalan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kerajaan bercadang mengagihkan topeng muka kepada rakyat yang memerlukan termasuk golongan B40.

"Ia bagi membolehkan semua orang menggunakannya dalam kehidupan harian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai pelitup muka fabrik, Dr Noor Hisham berkata, ia tidak digalakkan untuk digunakan sekiranya hanya mempunyai satu atau dua lapisan sahaja.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan panduan bahawa ia mestilah menggunakan material bersifat hidrofilik dan hidrofobik bagi mengelakkan daripada jangkitan Covid-19," katanya.