X

Kindly register in order to view this article
!

SOP pertukaran anak kapal diperketat

Ismail Sabri ketika sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini mengambil keputusan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pertukaran anak kapal atau proses ‘sign on’ dan ‘sign off’ untuk mengelak penularan wabak Covid-19 kepada rakyat tempatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anak kapal yang hendak menjalani proses itu perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

“Sekiranya positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Bagi yang negatif pula, mereka akan dikuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin dan perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13.

“Jika negatif, mereka akan dibenarkan untuk menjalani proses 'sign on' di pelabuhan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kos kuarantin wajib selama 14 hari termasuk kos ujian saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan anak kapal.

Menurutnya, proses sama akan dilalui oleh anak kapal yang melakukan 'sign off' apabila tiba di pelabuhan dan mereka yang positif akan dihantar ke hospital dan sekiranya negatif akan dibenarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke negara masing-masing.

Ismail Sabri berkata, sebelum ini, anak kapal yang berlabuh di pelabuhan di negara ini dibenarkan untuk pulang ke negara masing-masing tanpa menjalani proses kuarantin.

Bagaimanapun beliau berkata, ada kelasi kapal itu gagal mematuhi SOP yang ditetapkan dan dikesan keluar membeli-belah menyebabkan berlaku penularan virus berkenaan dalam kalangan rakyat tempatan.

Sebelum ini, 17 kelasi warga asing dikompaun RM1,000 kerana melanggar syarat kuarantin dengan membeli-belah di sebuah pasar raya besar di Labuan, Sabah. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!