Pergerakan antara zon di Sarawak dihadkan

Ismail Sabri ketika sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pergerakan perjalanan antara zon kuning/merah dan zon hijau di Sarawak akan dihadkan dari 1 hingga 14 Ogos sebagai langkah mengekang penularan Covid-19 di negeri itu khususnya di bandar raya Kuching.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan permohonan kerajaan negeri itu dalam mengambil langkah tegas dan proaktif untuk mengekang wabak itu yang semakin meningkat di Sarawak.

Had pergerakan perjalanan itu melibatkan dua zon iaitu zon satu (zon kuning/merah Covid-19) melibatkan bahagian Kuching, Serian dan Samarahan sementara zon dua (zon hijau) merangkumi bahagian Seri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Beliau menjelaskan, mana-mana individu yang ingin bergerak antara zon perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu manakala pergerakan dalam zon adalah dibenarkan.

“Kerajaan Sarawak juga telah bersetuju mengurangkan jumlah penerbangan dari Semenanjung, Sabah dan Labuan ke Sarawak mulai 1 sehingga 14 Ogos,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bermula hari ini PDRM akan mengambil tindakan tegas menangkap dan mendakwa di mahkamah, individu yang diwajibkan menjalani kuarantin di rumah tetapi gagal melakukan ujian saringan kedua Covid-19.

Beliau difahamkan ramai dalam kalangan 2,897 individu yang sebelum ini dilapor tidak melakukan ujian saringan kedua tampil menjalani ujian itu pada hujung minggu lalu.

“Baki mereka ini akan dicari oleh PDRM hari ini, jadi janganlah sampai ditangkap polis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya antara SOP yang perlu dipatuhi mereka adalah duduk di rumah sepenuhnya, wajib memakai gelang perintah pengawasan dan menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin.

Mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 357 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP antaranya kerana terlibat dalam aktiviti dengan kehadiran orang ramai dan menyukarkan penjarakkan sosial.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung laporan terdapat premis hiburan di bangunan tinggi yang beroperasi sehingga awal pagi dan dikunjungi ramai sehingga tidak mematuhi SOP. - Bernama