APMM tahan lima lelaki Indonesia, rampas enam guni ganja

Mohd Zawawi (tengah) menunjukkan bungkusan disyaki ganja dalam enam guni besar yang dirampas dalam operasi terbabit. -Foto: APMM Kedah/Perlis
Mohd Zawawi (tengah) menunjukkan bungkusan disyaki ganja dalam enam guni besar yang dirampas dalam operasi terbabit. -Foto: APMM Kedah/Perlis
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah/Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup ganja seberat 230 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM 700,000 dengan menangkap lima suspek warga Indonesia menerusi Operasi Benteng, Sabtu lalu.

Pengarah APMM Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejayaan operasi tersebut adalah hasil pengesanan radar Sistem Pengawasan Laut (Swasla) yang mengesan dua bot di kedudukan 40 batu nautika barat daya Pulau Rebak Besar bergerak ke perairan Langkawi, pada 11.30 malam.

Menurutnya, maklumat diperoleh itu segera disalurkan kepada bot ronda dan bot pemintas APMM yang sedang melakukan Op Benteng sekitar perairan Langkawi hingga ke Pulau Perak.

“Dalam 10 minit kemudian, kedua-dua bot APMM tersebut berjaya menjejaki dan menemui dua bot kayu dalam keadaan bergelap di kedudukan 40.4 batu nautika barat daya Pulau Beras Basah.

Ketika anggota penguat kuasa menghampiri mereka untuk melakukan pemeriksaan di atas kedua-dua bot tersebut, mereka melarikan diri menyebabkan anggota penguat kuasa mengejar suspek,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Zawawi berkata, suspek turut mencampakkan beberapa bungkusan besar ke laut dan salah satu bot APMM berjaya memungut empat bungkusan guni besar.

“Sebuah lagi bot ronda APMM mengejar dua buah bot tersebut dan pada jam 11.50 malam, kedua-dua bot suspek berjaya ditahan berhampiran 41 batu nautika barat daya Pulau Beras Basah," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati terdapat dua lelaki dewasa dalam bot pertama sementara tiga lelaki dewasa bersama dua guni besar ditemui dalam bot kedua.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua buah bot tersebut ditunda ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, ketika pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati lima lelaki yang ditahan adalah warganegara Indonesia manakala enam guni besar yang dirampas disyaki ganja bersama sebuah telefon bimbit.

“Kesemua tahanan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Kedah/Perlis untuk siasatan lanjut bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek dilakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19) setibanya di jeti APMM Bukit Malut.

“Kita sentiasa meningkatkan rondaan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah di perairan negeri dan berusaha memastikan sindiket penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan dapat dilumpuhkan,” katanya.

Pihaknya turut meminta komuniti Maritim bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah/Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307.