Beri RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi untuk dapat projek

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah syarikat MTM Network Sdn Bhd mendedahkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa beliau memberi sumbangan RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui beberapa keping cek bagi mendapatkan ‘kerja’.

Ng Hong Sing, 56, berkata, pemberian sumbangan itu juga sebagai ‘perkenalan’ antara dirinya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-26 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.

Menurut Ng, beliau meminta kawannya yang mengenali seorang lelaki bernama ‘Datuk Ruzi’ yang merupakan orang kuat Bagan Datuk, Perak dan juga kepada tertuduh untuk diperkenalkan kepadanya.

“Pada bulan Januari 2016 Datuk Ruzi memberitahu kepada saya bahawa dia boleh memperkenalkan saya kepada tertuduh, namun saya harus memberikan sedikit sumbangan kepada Yayasan Akalbudi bagi mendapatkan kerja,” katanya.

Katanya, selepas seminggu, beliau dan Datuk Ruzi ke rumah tertuduh dan beliau memberitahu Datuk Ruzi bahawa beliau hanya boleh memberi sumbangan RM3 juta.

“Selepas tiba di rumah tertuduh, saya mendapati ada ramai orang lain menunggu untuk berjumpa tertuduh. Saya telah masuk ke rumah tertuduh bersama Datuk Ruzi. Setelah Datuk Ruzi memperkenalkan saya kepada tertuduh beliau terus keluar dan meninggalkan saya dengan tertuduh.

“Semasa bersama dengan tertuduh, beliau mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi memberi sumbangan kepada Yayasan Akalbudi. Saya juga memberitahu tertuduh bahawa saya akan memberi sumbangan kepada yayasan itu sebanyak RM3 juta. Tertuduh juga memberitahu saya bahawa urusan selebihnya, saya boleh berhubung dengan Datuk Ruzi,” katanya dan menambah pertemuan tersebut berlaku lebih kurang lima hingga enam minit.

Artikel Berkaitan:

Saksi pendakwaan ke-79 itu berkata, selepas keluar dari rumah Ahmad Zahid, Datuk Ruzi memberitahu bahawa beliau akan mendapatkan projek yang lebih besar jika menyumbang lebih (jumlah tinggi) kepada Yayasan Akalbudi.

“Saya hanya memberitahu kepada Datuk Ruzi bahawa nilai maksimum yang saya boleh sumbang adalah sebanyak RM6 juta sahaja. Pada sekitar bulan Februari 2016, Datuk Ruzi telah menghubungi saya mengenai sumbangan yang akan saya berikan sebanyak RM6 juta.

“Saya ada membuat rundingan dengan Datuk Ruzi bahawa akan memasukkan RM6 juta ke dalam akaun Yayasan Akalbudi secara berperingkat selama setahun kerana syarikat masih belum mempunyai wang yang cukup. Datuk Ruzi bersetuju dengan cadangan saya pada ketika itu,” katanya yang mengenali Datuk Ruzi daripada kenalannya bernama ‘Jamal’.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama