1MDB: Ali Hamsa sahkan Ambrin tak terima tekanan

Tan Sri Ambrin Buang
Tan Sri Ambrin Buang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha Kerajaan, Tan Sri Ali Hamsa mengesahkan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang tidak menerima tekanan daripada mana-mana pihak selepas dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan mengenai pindaan laporan audit 1MDB.

Saksi pendakwaan keempat bagi perbicaraan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy itu berkata, Ambrin diberi tanggungjawab berkenaan, sesuai dengan jawatannya selaku Ketua Audit Negara.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk N Sivananthan yang mewakili Arul, Ali yang menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kerajaan bermula Jun 2012 hingga Ogos 2016 berkata, pihaknya tidak mengancam Ambrin supaya melakukan pindaan tersebut.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa, dalam kapasitinya sebagai perdana menteri ketika itu, menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.