224 PUS di Petaling Jaya patuh SOP

Anggota polis dan KKM melaksanakan pemantauan terhadap PUS di sekitar Petaling Jaya.
Anggota polis dan KKM melaksanakan pemantauan terhadap PUS di sekitar Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 224 individu dalam pemantauan (PUS) yang tinggal di kawasan Petaling Jaya didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua individu itu telah diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani tempoh kuarantin di rumah masing-masing setelah pulang dari luar negara.

"Kita telah menubuhkan 13 pasukan yang bekerjasama dengan KKM untuk memastikan individu berkenaan serta orang ramai mematuhi SOP PKPP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini semalam.

Nik Ezanee berkata, pihaknya juga mendapati 95 peratus premis perniagaan seperti pusat membeli-belah, restoran dan pasar raya telah mematuhi SOP PKPP.

"Kita mendapati ada sebahagian restoran yang mengehadkan jumlah pelanggan serta mengamalkan penjarakan sosial.

"Tindakan juga telah diambil terhadap pemilik premis yang tidak mematuhi SOP PKPP," katanya.

Sementara itu, Nik Ezanee berkata, seramai 20 individu ditahan kerana menyediakan tempat hiburan yang tidak mematuhi SOP PKPP dan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.

"Kita juga mengeluarkan 384 kompaun semalam (kelmarin). Kita telah melaksanakan pemantauan secara berterusan agar orang ramai mematuhi SOP PKPP," katanya.

Artikel Berkaitan: