Silva tekad bawa kejuaraan Liga Juara-Juara ke bumi Etihad

Silva (tengah) selepas membuat penampilan terakhir bersama Manchester City pada aksi menentang Norwich City di Stadium Etihad.
Silva (tengah) selepas membuat penampilan terakhir bersama Manchester City pada aksi menentang Norwich City di Stadium Etihad.
A
A
A

BINTANG Manchester City, David Silva bertekad memberikan aksi terbaik menjelang kunjungan Real Madrid pada pusingan kedua peringkat 16 terbaik di Etihad, 8 Ogos depan.

Pemain berusia 34 tahun itu yakin skuad The Citizens mampu mencatatkan kejayaan pada perlawanan berkenaan hasil kemenangan 2-1 di Santiago Bernabeu pada pusingan pertama 27 Februari lalu.

“Saya harap kami dapat menjuarai Liga Juara-Juara. Saya telah bekerja untuk City selama 10 tahun dan saya mempunyai hubungan baik dengan mereka.

“Saya sayangkan mereka dan akan merindui segala kenangan indah bersama keluarga besar Manchester City. Untuk itu, saya sangat berharap kami dapat menjuarai Liga Juara-Juara kali ini,” katanya.

Silva diraikan rakan-rakan sepasukan selepas aksi terakhir saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Norwich City di Etihad yang menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola itu menang 5-0.

Sepanjang beraksi bersama Silva membantu kelab itu meraih empat kejuaraan EPL, dua Piala FA dan lima Piala Liga.

Silva turut menyifatkan kesemua trofi dimenangi bersama City sebagai kenangan yang cukup sukar dilupakan di sepanjang kariernya.

“Untuk memenangi begitu banyak gelaran dan cara kami memenanginya, secara jujur saya orang yang cukup bertuah.

Artikel Berkaitan:

“Saya mempunyai banyak detik-detik yang indah, dan ini juga yang terakhir. Saya akan merindui segalanya malah suasana indah di stadium Manchester City,” katanya.

Sementara itu, Guardiola berkata, perpisahan berkenaan hanyalah perpisahan kecil buat Silva dan yakin selepas ini pemain berkenaan akan kembali lagi untuk acara lain yang lebih besar.

“Ini hanya acara perpisahan kecil buat Silva kerana selepas ini dia akan kembali lagi untuk acara yang sebenar dan selayaknya.

“Penyokong-penyokong Manchester City mahu melakukannya untuk legenda kelab seperti Silva yang telah banyak berjasa dan berbakti sepanjang 10 tahun di kelab ini.

“Manchester City juga akan membiarkan penyokong-penyokong mengucapkan terima kasih atas apa yang Silva lakukan untuk kelab ini selama 10 tahun,” katanya.