Malaysia perlu kekal tolak ideologi LGBT: Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu kekal dengan pendirian menolak sebarang bentuk dan pengamalan ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada masuk ke dalam negara.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) berkata, walaupun negara lain dilihat mula akur untuk menerima ideologi tersebut dalam perundangan negara mereka, Malaysia diingatkan untuk terus konsisten dengan pendirian dinyatakan sebelum ini.

Katanya, beliau turut menyokong usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang memberi lesen penuh kepada penguat kuasa untuk mengambil tindakan terhadap golongan transgender.

"Tindakan itu dilakukan bukan atas dasar untuk menghukum semata-mata tetapi cenderung untuk memulihkan mereka kembali ke pangkal jalan.

"Bagaimanapun usaha murni ini dipandang serong oleh aktivis LGBT yang bersikap pesimis terhadap langkah diambil kerajaan bagi menyelamatkan golongan ini," katanya ketika sesi perbahasan di Parlimen hari ini.

Tegasnya, lebih menghairankan apabila aktivitis ini menganggap apa yang dilakukan kerajaan sebagai menceroboh ruang persendirian dan melanggar keselamatan peribadi golongan tersebut.

"Saya berpendapat aktivis LGBT ini tidak pernah meneliti buku Manual Islam dan Mak Nyah yang dikeluarkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pada 2013 yang mana ia menjelaskan secara menyeluruh usaha Jakim dalam membimbing, memberi sokongan dan memulihkan golongan LGBT," katanya.

Nik Mohamad Abduh berkata, sikap prejudis aktivis LGBT ini tidak perlu dilayan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebaliknya inisiatif murni perlu diteruskan untuk penambahbaikan supaya golongan LGBT diselamatkan dan kembali fitrah asal.