97 premis makanan diarah tutup gagal patuhi SOP PKPP

Nor Azimi (dua dari kanan) memeriksa alat penyukat suhu badan di sebuah premis perniagaan di Kuala Terengganu.
Nor Azimi (dua dari kanan) memeriksa alat penyukat suhu badan di sebuah premis perniagaan di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 97 premis makanan di Terengganu diarah tutup kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak ia dikuatkuasakan 10 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, antara kesalahan dilakukan ialah tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakkan dua meter antara meja pelanggan.

“Tempoh penutupan premis itu antara tiga hingga tujuh hari bergantung atas kesalahan dilakukan peniaga berhubung SOP PKPP selain tidak mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan.

“Tindakan ini dilakukan di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Patuh Khas PKPP di di daerah ini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, JKNT juga telah mengeluarkan kompaun bernilai RM107,000 kepada 107 pemilik premis makanan kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan sejak penguatkuasaan dijalankan bermula 10 Jun lalu.

Katanya, setakat ini daerah Kemaman merekodkan jumlah kompaun tertinggi iaitu sebanyak 39 kompaun diikuti Dungun (26), Setiu (22), Besut (11), Hulu Terengganu (tujuh) manakala dua kompaun dikeluarkan bagi daerah Kuala Nerus.

“Sehingga kini kita telah memeriksa sebanyak 3,662 premis makanan serta mengesan sebanyak 115 kesalahan dilakukan kebanyakannya membabitkan tiada rekod suhu pekerja dan pelanggan, tidak memastikan pengambilan suhu pelanggan yang tepat dan tiada penjarakkan dua meter antara meja pelanggan.

“Angka itu mungkin bertambah memandangkan terdapat lagi beberapa daerah yang masih belum dijalankan. Penguatkuasaan akan dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP yang dikeluarkan sepanjang tempoh PKPP yang berakhir 31 Ogos nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Ops pematuhan SOP tidak memberi fokus untuk mencari kesalahan sebaliknya mahu memastikan tahap kepatuhan demi menjamin keselamatan masyarakat.

“Operasi ini bukan bertujuan memberi tekanan kepada masyarakat, ia untuk menjaga kesihatan rakyat seluruh Terengganu tambahan berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam negara sejak akhir ini.

“Jadi orang ramai dinasihatkan supaya tidak pergi ke premis makanan yang tidak mematuhi SOP ditetapkan dan laporkan kepada pejabat kesihatan berhampiran jika terlihat premis makanan yang penuh sesak tanpa penjarakkan sosial,” katanya.