Noh berang isu rasuah, ketuanan Melayu dikaitkan

Sesi perbahasan kecoh apabila isu ketuanan Melayu dan White Supremacy disamakan, selain isu pemimpin rasuah Melayu dibangkitkan Mohamad Sabu (Kota Raja-Amanah).
Sesi perbahasan kecoh apabila isu ketuanan Melayu dan White Supremacy disamakan, selain isu pemimpin rasuah Melayu dibangkitkan Mohamad Sabu (Kota Raja-Amanah).
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Rakyat kecoh seketika apabila isu ketuanan Melayu dan White Supremacy disamakan, selain isu pemimpin rasuah Melayu turut dibangkitkan oleh Mohamad Sabu (Kota Raja-Amanah).

Mohamad ketika sesi perbahasan hari ini mengaitkan kedua isu itu sebagai contoh apabila membahas berhubung isu pelarian dan pembelaan kaum tanpa had yang dilihat boleh membawa kepada bahaya.

Menurutnya, apa yang berlaku di Amerika Syarikat iaitu ketuanan orang putih atau 'White Supremacy' yang berlaku sejak beratus tahun sewaktu pemerintahan George Washington sehinggalah kepada Presiden Donald Trump di mana pemerintah dilihat mengapi-apikan isu perkauman dan seterusnya menyebabkan huru-hara di seluruh negara itu.

"Sewaktu pandemik koronavirus (Covid-19), ramai rakyat negara itu tetap keluar melakukan tunjuk perasaan sehingga membawa kepada kematian dan ini juga bahaya bila kita pergi kepada ketuanan Melayu, perlu diutarakan pemimpin Melayu yang wibawa, bertaqwa, berintegriti dan bukan ketuanan Melayu.

"Jika tidak ia sama sahaja dengan White Supremacy. Sekarang kita belum nampak bahaya itu kerana ia baru di peringkat permulaan tetapi yang berlaku di Amerika Syarikat akhirnya membawa kepada kancah yang tidak sudah bukan saja di negara itu tapi di seluruh dunia," katanya ketika sesi perbahasan di Parlimen hari ini.

Presiden Amanah itu turut menegaskan bahawa sokongan perlu diberikan kepada orang Melayu Islam tidak kira sesiapa atau daripada parti mana asalkan mereka tidak terlibat rasuah atau penyelewengan.

Susulan perkataan rasuah yang disebut Mohamad menyebabkan Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang-BN) mencelah dan menyatakan rasa tidak puas hati.

"Apabila sebut orang Melayu saya terasa sebab saya orang Melayu. Bila sebut rasuah ia umum, kalau betul YB (Mohamad) perjuangkan Islam kenapa boleh lari dari Pas dan bentuk Amanah bukankan Pas perjuangkan Islam?

Artikel Berkaitan:

"YB orang Melayu, jangan hina Melayu. Jangan kaitkan Melayu dengan rasuah, malukan bangsa kita sedangkan orang lain ada rasuah tapi mereka tak hina bangsa sendir," katanya.

Ketegangan itu berlanjutan seketika walaupun Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said beberapa kali meminta Noh duduk bagi memberi laluan kepada Mohamad untuk meneruskan perbahasan.

Bagaimanapun pertikaman lidah itu terus berlanjutan dengan Noh menyebutkan beberapa kes rasuah lain sehingga ada ahli Parlimen lain memintanya bertenang.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhly Shaari (Pasir Mas) turut mencelah dengan menjelaskan bahawa istilah digunakan Mohamad berkenaan White Supremacy dan ketuanan Melayu adalah berbeza.

"Ketuanan Melayu nyatakan hak-hak oramg Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan dan tidak lebih dari itu," katanya.