X

Kindly register in order to view this article
!

RM5.5 juta diluluskan untuk pembinaan taska baharu

KPWKM telah meluluskan sebanyak 34 permohonan penubuhan taska di pelbagai kementerian dan pejabat setiausaha kerajaan negeri membabitkan nilai RM5.5 juta. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah meluluskan sebanyak 34 permohonan penubuhan taska di pelbagai kementerian dan pejabat setiausaha kerajaan negeri membabitkan nilai RM5.5 juta.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sebanyak 11 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, permohonan penubuhan taska baharu itu membabitkan peruntukan Geran Penubuhan Taska di Tempat Kerja Sektor Awam (TTKA) sebanyak RM30 juta menerusi peruntukan Belanjawan 2020.

"Antara yang diluluskan bagi penubuhan taska baharu adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (16), Kementerian Pendidikan Malaysia (10), Kementerian Pengajian Tinggi (dua) dan Kementerian Belia dan sukan (satu).

"Selain itu, Jabatan Perdana Menteri (satu), kerajaan Terengganu (dua), kerajaan Pahang (satu) dan kerajaan Kelantan (satu)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Hannah Yeoh (PH- Segambut) yang meminta butiran geran penubuhan taska di tempat kerja sektor awam.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, kerajaan menerusi kementeriannya sentiasa berusaha untuk meningkatkan bilangan taska yang berdaftar bagi menyediakan penjagaan selamat dan berkualiti kepada kanak-kanak apabila ibu bapa keluar bekerja.

Dalam pada itu, KPWKM turut menyediakan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi Bantuan Khas Taska untuk membantu meringankan pengusaha memulakan semula operasi dengan memenuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, menerusi bantuan itu, sebanyak RM5,000 diberikan untuk taska Institusi dan TTKA manakala RM1,500 untuk taska di rumah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!