Pengarah syarikat iklan didakwa kemuka dokumen palsu

Tertuduh (kanan) diiringi pegawai SPRM masuk ke mahkamah hari ini.
Tertuduh (kanan) diiringi pegawai SPRM masuk ke mahkamah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat pengiklanan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas 12 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bernilai RM10 juta berhubung tender kemasukan Tourism Malaysia.

Tertuduh Ibrahim Omar, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad dan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Azman, tertuduh didakwa atas tujuh pertuduhan menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen membabitkan penyata bank CIMB, Borang A Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), SN Security Hardware Appointment, Lummex Global Sdn Bhd Letter Of Award For The Compony Brand Communication Campaign.

Kesemua dokumen itu digunakan atas beberapa nama syarikat untuk tujuan mendapatkan tender Global bagi syarikat Advertising Agencies And Promotion For Tourism Malaysia yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai semua dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara 1, Tingkat 8, Unit Perolehan Bahagian Pentadbiran, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Jalan P5/6 Presint 5, Putrajaya pada 10 September 2019.

Bagi kesemua kesalahan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan tempoh boleh sampai dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Azura tertuduh didakwa atas tiga kesalahan sama melibatkan beberapa surat palsu yang dihantar melalui e-mel milik tertuduh melibatkan tender yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pembangunan Leasing, Corporation Credit And Factoring Sdn. Bhd. (PLCCM) Tingkat 18, Menara Bank Pembangunan, Jalan Sultan Ismail antara 5 dan 10 Jun lalu mengikut seksyen yang sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan dua invois palsu kepada seorang individu yang bertugas di Pembangunan Leasing, Corporation Credit And Factoring Sdn Bhd (PLCCM) dengan niat untuk memperdayakan bagi perkhidmatan 'Tourism Malaysia Global Media Buy' berjumlah RM7.2 juta sedangkan perkhidmatan itu tidak dilaksanakan.

Tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan itu pada 10 Jun 2020 di Pejabat PLCCM Tingkat 18, Menara Bank Pembangunan, Jalan Sultan Ismail di sini.

Bagi dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM500,000 dengan syarat penjamin yang menetap di Semenanjung Malaysia dan syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah di samping tertuduh perlu hadirkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Wan Shaharuddin turut menambah, tertuduh juga turut mempunyai satu kes berhubung kad pengenalan palsu yang telah dituduh di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam A Ashok, memohon jaminan rendah memandangkan kesemua akaun anak guamnya dan isteri telah dibekukan dan pasport antarabangsa juga telah diserahkan ke pihak SPRM.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan dengan seorang penjamin dari semenanjung dan menetapkan 1 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.