Kerajaan perlu sedia pelitup muka kepada pelajar

Boon Chye pada sidang media di Parlimen hari ini.
Boon Chye pada sidang media di Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk memberikan dua pelitup muka boleh diguna semula kepada setiap pelajar sekolah di negara ini bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan sebaiknya.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana institusi pendidikan berdepan ancaman besar untuk menjadi punca jangkitan koronavirus (Covid-19) seperti mana yang berlaku di luar negara.

Menurutnya, kerajaan dianggarkan akan membelanjakan kira-kira RM24 juta bagi mengedarkan dua pelitup muka diguna semula secara percuma yang dianggarkan kurang RM2 sekeping itu.

"Kerajaan dianggarkan akan menanggung kos RM24 juta dengan jumlah murid kira-kira 5.4 juta termasuk prasekolah di seluruh negara.

"Ini akan mengurangkan beban ibu bapa yang perlu sediakan topeng muka untuk anak-anak mereka menjelang dasar pemakaian topeng muka secara wajib mulai 1 Ogos ini," katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, selain memastikan pelajar dapat dapat mematuhi SOP di sekolah, kerajaan juga harus memikirkan beban yang perlu ditanggung ibu bapa bagi menyediakan pelitup muka.

Terdahulu, kerajaan memutuskan pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 1 Ogos ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Artikel Berkaitan: