Kerajaan tidak akan mansuh Akta Hasutan 1948

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 selepas mengambil kira struktur masyarakat terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan itu dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam susulan tindakan mana-mana pihak menyebarkan maklumat atau berita berunsur hasutan melalui media sosial secara tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, berdasarkan statistik, terdapat trend peningkatan kes dua tahun kebelakangan ini yang melibatkan kesalahan menghasut terhadap institusi diraja, kaum, agama dan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan atau hak kedaulatan yang dilindungi oleh Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

"Kebelakangan ini penyebaran maklumat palsu atau berita berunsur hasutan semakin berleluasa sehingga boleh mewujudkan suasana tidak tenteram khususnya apabila berita itu menyentuh isu sensitif dalam kalangan masyarakat," katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada Akta Hasutan akan dimansuhkan dan status tindakan untuk tujuan itu.

Hamzah berkata, bagi tempoh 2015 hingga 1 Julai lalu, sebanyak 300 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948 membabitkan 41 kes berjaya dituduh.

Katanya, daripada jumlah 300 kertas siasatan itu, 171 kes diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA), 54 kes masih dalam siasatan dan 34 kes diputuskan kemas kini untuk simpan (KUS).

Pendirian terkini kerajaan Perikatan Nasional (PN) pastinya memberi tamparan hebat kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mencadangkan untuk meminda beberapa akta di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Artikel Berkaitan:

Januari lalu, kerajaan PH mengumumkan akan meneruskan kajian untuk meminda beberapa akta di bawah KDN termasuk Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).