Liverpool luar biasa, hampir sempurna: Klopp

Kesebelasan Liverpool meraikan kejayaan menjulang trofi EPL musim ini. - Foto thetopflight.com
Kesebelasan Liverpool meraikan kejayaan menjulang trofi EPL musim ini. - Foto thetopflight.com
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp melabelkan skuad kendaliannya itu sebagai skuad yang luar biasa dan hampir sempurna dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Klopp berkata, kejayaan menjulang Piala Super Eropah, Piala Kelab Dunia, dan trofi EPL dengan 99 mata musim ini dilihat sebagai sesuatu yang cukup istimewa.

Bagaimanapun menurut Klopp, skuad The Reds itu masih perlu bekerja keras untuk mengatasi pencapaian Manchester City yang menamatkan saingan EPL dengan 100 mata pada musim 2017/18 lalu.

"Semangat pemain Liverpool cukup luar biasa tahun ini dengan 99 mata. Kami agak beruntung musim lalu dengan 97 mata, tetapi jelas untuk menang menentang Manchester City, anda harus hampir sempurna dan pemain Liverpool hampir sempurna kali ini.

"100 peratus kami melakukannya dengan cara yang betul dan kami menyelesaikannya pada tahap tinggi. Kenangan ini pasti akan mendapat tempat istimewa dalam ingatan saya," katanya.

Klopp berkata demikian setelah menyaksikan anak-anak buahnya mengesahkan kemenangan ke-32 dalam saingan EPL musim ini dengan menewaskan Newcastle United 3-1 di St James Park, kelmarin.

Biarpun dikejutkan dengan gol awal jaringan Dwight Gyle seawal 24 saat, namun skuad The Reds itu bangkit menerusi jaringan Virgil Van Dijk pada minit ke-38, Divock Origi (minit ke-59) dan Sadio Mene pada minit ke-89 menutup tirai saingan musim ini dengan penuh bergaya.

Sementara itu, Klopp turut memberikan penghormatan kepada pertahanan kental Liverpool, Virgil Van Dijk yang melengkapkan musim keduanya bersama The Reds dengan beraksi pada setiap minit perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak pasti dia (Van Dijk) memerlukan pujian. Dia baik, istimewa dan gabungan kemahirannya cukup istimewa. Pemikirannya juga sungguh istimewa.

"Kombinasi ini menjadikannya sebagai pemain yang mantap di posisi pertahanan. Dia juga seorang lelaki yang baik.

"Dia (Van Dijk) akan kembali lebih menyengat lagi selepas ini. Kami cuba merehatkannya sebelum ini, tetapi ia agak sukar. Bagaimanapun, selepas ini dia akan mendapat pelepasan selama dua minggu," katanya.