Moratorium: Bank rugi RM6.4 bilion

Tenku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tenku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor perbankan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium selama enam bulan dilaksanakan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, anggaran kerugian itu berdasarkan pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9).

Menurutnya, ia bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank untuk pemberian pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion.

"Sistem perbankan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium. Bagi tempoh enam bulan secara keseluruhannya pula, jumlah kerugian dianggar mencecah RM6.4 bilion.

"Ia bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion kepada peminjam," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanyakan implikasi ditanggung sektor perbankan susulan pelaksanaan moratorium.

Kerajaan pada Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium selama enam bulan untuk bayaran pinjaman bank mulai April sehingga September ini.

Langkah itu diambil bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan: