Bersatu Sabah cadang pinda perlembagaan tubuh cawangan

Ronald Kiandee - Foto Bernama
Ronald Kiandee - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mencadangkan agar perlembagaan parti itu bagi penubuhan cawangan dipinda bagi menambah jumlah cawangan sedia ada.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pindaan itu perlu dilakukan supaya penubuhan cawangan yang diwujudkan tidak lagi dibuat berdasarkan jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap kawasan Parlimen.

Menurutnya, cadangan pindaan itu suarakan sejajar dengan perkembangan semasa parti selain dapat memperkukuhkan peringkat akar umbi parti berpandukan fasal 11.2 Perlembagaan Bersatu, penubuhan satu cawangan bagi setiap satu PDM.

"Pada ketika ini cawangan yang sedia ada telah ditubuhkan berdasarkan jumlah PDM yang terdapat di setiap Parlimen dan jumlahnya terhad.

"Saya berpandangan, jika jumlah cawangan ditambah seperti berasaskan kampung ia akan membuka peluang lebih ramai menjadi ahli Bersatu," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ronald yang bertanding jawatan Naib Presiden Bersatu pada pemilihan kali ini berkata, cadangan mengenai pindaan itu sesuai dengan perkembangan semasa Bersatu terutamanya dari segi mereka yang ingin menjadi ahli.

Bagaimanapun katanya, beliau berharap cadangan ini akan dipertimbangkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dalam pada itu, Ronald berkata, Bersatu kini menjadi platform kepada golongan muda yang berminat dalam bidang politik dan menjadi pemimpin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ramai dalam pemimpin Bersatu khususnya di peringkat bahagian adalah golongan muda termasuk menjawat jawatan ketua bahagian.

"Kecenderungan anak muda menyertai Bersatu sangat ketara dan ini menunjukkan perkembangan positif politik negara dalam melahirkan pelapis pemimpin negara," katanya.